Lompat parti: Perlu gubal undang-undang
KUANTAN - Kerajaan Persekutuan perlu menggubal segera undang-undang ‘lompat parti’ bagi menghalang perbuatan sesetengah ahli parlimen dan Adun kerana sanggup menggadaikan amalan demokrasi di negara ini.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, jika ada undang-undang berkaitan sudah pasti pihak berkuasa boleh membatalkan kemenangan pemimpin yang melompat itu.
“Jadi, apabila seorang ahli parlimen atau Adun melompat parti maka kerusinya akan di kosongkan serta-merta.
“Pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari bagi memilih wakil rakyat baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Back To School, di sebuah pasaraya, hari ini.
Baru-baru ini beberapa ahli parlimen Umno telah mengumumkan keluar parti dan dijangka akan menyertai salah satu parti komponen PH tidak lama lagi.
Menyentuh perkara itu, Rosli berkata, perbuatan pemimpin politik melompat parti merupakan perbuatan keji dan tidak bermoral.
Jelasnya, seseorang ahli parlimen atau Adun dipilih oleh rakyat berdasarkan parti yang diwakilinya.
“Dalam hal ini, mana-mana ahli parlimen atau adun lompat parti wajar meletakkan jawatan dan rakyat boleh memilih wakil rakyat baharu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Adun Tanjung Lumpur berkata, kemahuan melompat parti tidak dapat dinafikn berkaitan rapat dengan beberapa amalanyang tidak sihat.
Katanya, kemungkinan ada kaitan rasuah, ugutan, ancaman dan janji imbuhan wang serta sebagainya.
“Dengan membenarkan melompat parti akan membolehkan parti minoriti memiliki kuasa politik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!