Budi bahasa budaya kita
“AUNTIE ada masalah ke?
“Ya dik auntie ada masalah. Anjing liar ada kat luar kereta ni ha.
“Ok tak apa auntie, saya halau sekejap,” kata seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan sembilan tahun.
Situasi tersebut dialami penulis sekitar tahun lalu ketika terperangkap di dalam kereta dek anjing liar yang berkeliaran ketika mahu parkir di kawasan perumahan di Taman Sungai Kapar Indah, Klang.
Dalam kesusahan pada malam itu, penulis berterima kasih kepada kanak-kanak India tersebut kerana sudi membantu.
Terdetik di hati penulis alangkah baiknya kanak-kanak yang langsung tak mengenali penulis itu sudi menolong ketika berada dalam kesusahan.
Penulis bersyukur hidup dalam sebuah negara yang aman damai dan saling menolong antara satu sama lain walaupun berlainan agama dan bangsa.
Di kawasan kejiranan, penulis dikelilingi dengan masyarakat Cina dan India, namun begitu sikap toleransi antara satu sama lain amat tinggi.
Berbalik kepada cerita tersebut, beberapa hari lalu, tular di laman sosial Facebook seorang lelaki bernama Visnu menolong seorang lelaki Melayu yang membawa motosikal besar yang kehabisan minyak untuk ke stesen minyak.
Kemudian ada seorang lelaki menanyakan sebab dia menolong lelaki berkenaan dan dia menjawab: “Saya pun biasa habis minyak bang, saya tahu penat tolak motor dan selalu juga orang tolong. Tak kira siapa pun kita mesti tolong.”
Begitu mulia hati lelaki India tersebut dan semangat ini yang ingin kita semaikan dalam kalangan generasi hari ini dan akan datang. Bayangkan jika lelaki Melayu itu tiada sesiapa yang menolong sudah pasti dia terpaksa menolak motor yang kehabisan minyak itu sehingga berjumpa dengan stesen minyak.
Jika anda berada di tempatnya, apa tindakan yang akan anda lakukan? Adakah hanya melihat begitu sahaja atau mengambil gambar dan menularkannya dalam media sosial?
Baru-baru ini juga terdapat seorang pengguna Twitter yang menceritakan perihal dia dan ayahnya yang dibantu seorang lelaki berketurunan Cina ketika dalam kesulitan.
Menurut pengguna Twitter yang menggunakan nama Nebulaaa itu, pada hari kejadian, motosikal yang dinaiki bersama ayahnya telah kehabisan minyak dan secara kebetulan, seorang pemandu kereta telah berhenti dan menawarkan pertolongan kepada mereka.
Perkongsian yang dibuat gadis tersebut ternyata mengundang reaksi positif para netizen yang memuji tindakan pemandu kereta tersebut yang merupakan seorang lelaki Cina. Baik dan mulia sungguh hati uncle tersebut. Alangkah amannya negara kita sekiranya mempunyai ramai rakyat seperti uncle itu. Dia tetap menolong orang lain ketika dalam kesusahan walaupun berbeza agama.
Penulis tertarik dengan reaksi salah seorang netizen yang mengatakan ‘kita mudahkan orang, orang lain mudahkan kita’.
Ya, memang penulis bersetuju dengan kata-kata tersebut kerana kebaikan yang kita buat nescaya akan mendapat kebaikan. Kebaikan yang dimaksudkan diterjemah dalam pelbagai bentuk tanpa kita sedar, cepat atau lambat. Ingatlah kebaikan dibalas dengan kebaikan dan setiap keburukan turut akan mendapat balasan yang setimpal kelak.
Walaupun kita hidup dalam masyarakat majmuk, namun semangat kekitaan dan hormat-menghormati perlu disemai dan dipupuk sejak kecil.
Negara kita mempunyai kira-kira 60.4 peratus penduduk Islam; 19.2 peratus Buddha; 9.1 peratus Kristian; 6.3 peratus Hindu dan 2.6 peratus lain-lain agama. Walaupun Islam merupakan penduduk paling ramai, namun kita tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa majoriti untuk menjadikan Malaysia Melayu yang punya.
Kita perlu mengambil kira segala aspek merangkumi semua bangsa dalam membuat sesuatu keputusan ataupun tindakan tanpa sebarang prejudis demi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara yang dikecapi dari dulu sehingga kini.
Berdasarkan kisah-kisah yang tular di laman sosial tersebut, dapat disimpulkan bahawa kita jangan menilai orang lain melalui rupa paras, bangsa dan agama seseorang.
Perlu diingat, berbeza agama dan bangsa tidak menggambarkan baik buruknya seseorang itu.
Akhir kalam, bersangka baiklah sesama manusia tanpa mengira bangsa kerana kemuliaan seseorang manusia terletak pada hati dan bukan pada bangsanya! Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sesekali.
Renung-renungkanlah bersama demi Malaysia tanah airku!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!