Mengubah perasaan benci menjadi sayang
SETELAH sekian lama berpatah arang, biasanya orang yang berseteru saling memendam rasa ‘kebencian’ antara satu sama lain. Hidup pula bersulam dendam yang silih bertandang menjadi realiti hubungan manusia yang saling bermusuhan.
Bila benci-membenci membuak antara satu sama lain, ramai menyangka status sesebuah hubungan yang dibelenggu masalah itu tiada lagi harapan untuk diselamatkan.
Masing-masing kekal dengan lagak dan keegoan sendiri. Bagi mereka, pertelingkahan itu tidak perlu dipulihkan. Ia harus kekal dan selamanya kekal bermusuh.
Bagi Merak Jalanan, perbalahan panjang sebenarnya adalah satu mitos. Tidak mustahil pihak yang berseteru selama berpuluh tahun boleh duduk semeja, melupakan kebencian mereka dan kembali menyayangi antara satu sama lain.
Ya, untuk menukar rasa benci kepada sayang bukan mudah. Merak Jalanan akui, sukar melenyapkan sekelip mata perasaan permusuhan yang sekian lama bersarang dalam hati masing-masing.
Usaha yang ekstrem perlu ada bagi menukar perasaan itu kepada rasa sayang yang ikhlas. Lagipun mengasihi antara sesama manusia juga adalah tuntutan agama.
Usahlah takut untuk menukar benci kepada sayang. Natijah positifnya banyak dan memberi untung bukan sahaja kepada pihak bermusuhan malah kepada masyarakat secara amnya.
Bagi meraikan kisah kebencian bertukar kasih sayang ini, Merak Jalanan tabik kepada Pas-UMNO. Biarpun ada yang melihatnya sebagai satu penyatuan kosmetik untuk kepentingan politik, Merak Jalanan positif dengan perkembangan itu.
Penyatuan Pas-UMNO selepas 30 tahun berseteru menjadi contoh positif kisah epik sebuah permusuhan. Demikian juga dengan permusuhan UMNO dengan Bersatu, PKR, Amanah dan DAP. Tidak mustahil, ia boleh berubah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!