Bayi 18 bulan maut jatuh dari kapal persiaran
SAN JUAN - Seorang bayi perempuan menemui ajal apabila terjatuh dari sebuah kapal persiaran ketika percutian keluarga di San Juan, Puerto Rico.
Chloe Wiegand berusia 18 bulan dari Indiana, Amerika Syarikat jatuh daripada ketinggian kira-kira 45 meter kapal persiaran Freedom of the Seas kendalian Royal Caribbean yang berlabuh di Pelabuhan Pan American, San Juan.
Dalam kejadian petang Ahad lalu, datuk mangsa dari sebelah ibunya, Salvatore Anello dipercayai terlepas pegangannya ketika mendukung mangsa di tepi tingkap dek ke-11 yang menempatkan dewan makan kapal persiaran terbabit.
Terdapat banyak tingkap besar di dewan makan berkenaan dan salah satu daripadanya terbuka.
Mangsa yang terlepas daripada pegangan datuknya itu jatuh ke lantai konkrit pelabuhan dan disahkan meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian.
Penumpang yang berada berhampiran berkata mereka mendengar jeritan menyayat hati ibu mangsa, Kimberly Schultz Wiegand.
"Kami mendengar jeritan keluarga mangsa kerana berada berhampiran," kata seorang penumpang kapal kepada stesen Telemundo PR.
Pegawai Jabatan Keselamatan Awam, Elmer Román berkata, datuk mangsa sedang bermain bersama cucunya apabila mangsa terlepas daripada pegangannya.
Jurucakap Royal Caribbean berkata, pihaknya memberi sepenuh kerjasama terhadap siasatan kematian mangsa yang juga anak seorang anggota polis dari Indiana, Alan Wiegand.
Tragedi berlaku ketika mangsa bersama ibu bapanya, abangnya serta datuk dan nenek (kedua-dua belah ibu dan bapa) menyertai pelayaran tujuh hari yang bermula di Puerto Rico. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!