Seorang wanita terbunuh, kereta dihempap pokok
JERANTUT - Seorang wanita terbunuh selepas kereta jenis Perodua Viva yang dinaikinya dihempap sebatang pokok di Kampung Lata Kasah,di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.41 malam itu,seorang lagi wanita cedera tersepit dalam kenderaan terbabit.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Anuar Hassan memberitahu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat mengenai insiden tersebut.
Menurutnya, anggota terlibat telah bertindak dengan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa-mangsa.
"Mangsa cedera diserahkan kepada pihak hospital manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, mangsa baru sebulan sebulan bekerja di Jabatan Perangkaaan Bentong.
Ketua Polis daerah, Superintendan Mazlan Hassan memberitahu, hasil siasatan bersama bapa tiri mangsa menyatakan mangsa telah pulang ke rumah kerana ada urusan kerja di Benta, esok.
Menurutnya,selepas Maghrib, mangsa bersama kakaknya keluar ke bandar Jerantut menaiki kereta terbabit.
"Bila sampai di hadapan masjid itu tiba-tiba sebatang pokok tumbang dan menimpa kenderaan terbabit yang dipandu oleh kakaknya.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jerantut mendapati punca kematian kerana cedera di kepala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!