Berdoa apabila singgah di satu-satu tempat
LAZIMNYA, apabila ke suatu destinasi, ucapan syukur akan terpacul daripada bibir kita sebaik sahaja selamat tiba di tempat yang ingin dituju.
Namun, sepanjang perjalanan menuju ke destinasi diinginkan dan berhenti di mana-mana tempat persinggahan, pernahkah kita berdoa?
Barangkali ramai yang akan menjawab tidak untuk soalan itu.
Sebenarnya, berdoa apabila tiba di satu-satu tempat merupakan sunah Rasulullah SAW.
Daripada Saad bin Abi Waqash, beliau berkata, "Aku mendengar Khaulah binti Hakim al-Salamiyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang singgah di satu-satu tempat, lalu dia membaca A'udzu Bikalimatillahi Taammaati min syari maa Khalaq (Aku berlindung dengan kalimah-kalimah ALLAH yang sempurna daripada kejahatan makhluk yang diciptakan-Nya), maka tiada satu pun yang membahayakannya sehingga ia berganjak dari tempatnya."
Benar, Islam menganjurkan umatnya berdoa apabila hendak keluar rumah untuk ke satu-satu tempat supaya selamat dalam perjalanan bermula daripada rumah sehinggalah ke tempat yang dituju sebelum kembali semula ke kediaman kita.
Sesungguhnya, sesiapa yang membaca doa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW dengan ikhlas hati dan bersungguh-sungguh, ALLAH akan melindungi mereka daripada pelbagai gangguan, keburukan dan kejahatan daripada makhluk halus yang berpotensi mencetuskan kekacauan.
Kepada yang tidak pernah tahu tentang perkara itu, apa kata kita cuba amalkan mulai sekarang.
Jangan lupa berdoa apabila kita berhenti di mana-mana tempat sebelum sampai ke destinasi yang dituju.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!