Penerbit Don’t Let Usman Awang Know terjemah semula poster
SHAH ALAM - Polemik berhubung pementasan Don’t Let Usman Awang Know berakhir apabila pihak penganjur telah menterjemah semula poster teater tersebut kepada Bahasa Melayu.
Menurut waris kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang, Haslina Usman, pihaknya telah menerima versi yang telah dialih bahasa itu daripada pihak penganjur.
"Terima kasih Datuk Faridah Merican dan semua yang terlibat memperbetulkan isu poster pementasan penghormatan untuk arwah Sasterawan Negara Usman Awang.
"Kami warisnya amat menghargai usaha semua yang terlibat," katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya.
Sementara itu dalam satu hantaran yang berasingan, Haslina berkata, mereka tidak mahu mengguris hati sahabat-sahabat Usman Awang termasuk Faridah dan memohon maaf kerana telah melukakan hati beliau.
"Assalamualaikum, kami waris ayah, secara ikhlas tidak suka mengguris hati teman-teman akrabnya. Apa yang terjadi membuat kami pilu kerana Faridah Merican adalah diantara teman-teman beliau yang sentiasa memartabatkan karya-karya beliau dengan tidak mengira waktu dan wang ringgit.
"Kami tahu tiada niat dihatinya untuk mengeruhkan keadaan. Kami mohon maaf melukakan hatinya dengan status tegas kami kerana tiada jawapan apabila ditanya," ujarnya.
Pementasan drama “Don’t Let Usman Awang Know” yang akan berlangsung di Klpac pada 11 Julai ini hingga 14 Julai ini memaparkan tujuh karya yang diinspirasikan oleh Sasterawan Negara itu dan digarap oleh tujuh orang pengarah.
ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit drama dibidas tak hormat perjuangan Usman Awang
Tajuk pementasan drama tersebut ialah Guru Oh Guru, Calling 1969, Almari: Perjuangan, Trapped, Udara, Pisang Goreng dan Kekasih.
Pementasan yang diterbitkan The Actor Studio Seni Teater Rakyat dan Muka Space dan Yayasan Hasanah itu melibatkan Penerbit Eksekutif, Datuk Dr Faridah Merican, Pengarah Artistik, Joe Hasham dan Penerbit, Easee Gan. Ia diadakan sempena ulang tahun kelahiran Usman yang ke-90.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!