Kerajaan hanya semak Belanjawan 2019 jika...
KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya akan menyemak Belanjawan 2019 jika harga minyak mentah susut kurang daripada AS$50 setong, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Kementerian Kewangan menyediakan belanjawan berasaskan harga minyak mentah pada AS$70 setong.
Guan Eng berkata, tidak ada keperluan untuk menyemak semula belanjawan memandangkan kerajaan sedang meneliti harga purata minyak mentah dan bukan berdasarkan harga harian.
"Sebelum ini semasa harga minyak meningkat daripada AS$52 setong kepada AS$72 setong, kerajaan tidak menyemak belanjawan, begitu juga semasa ia turun daripada AS$72 setong kepada AS$52 setong ketika ini.
"Kerajaan hanya akan menimbang untuk menyemak belanjawan jika harga minyak mentah merosot bawah AS$50 setong," katanya kepada pemberita selepas 'Occupy Beach Street Christmas Run’ di sini hari ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan bagaimanapun berkata pasaran agak tidak menentu pada masa ini walaupun penganalisis masih positif bahawa harga purata harga minyak mentah boleh mencecah AS$70 setong.
"Anda tahu bila Donald Trump (Presiden Amerika Syarikat) bercakap mengenai sesuatu perkara, ini akan menjejaskan harga (minyak mentah).
“Buat masa ini, selagi harga purata msih melepasi AS$50 setong, tidak perlu menyemak semula, namun kerajaan akan memantau harga dan melihat pergerakannya tahun depan,”katanya.
Harga minyak merosot ke paras terendah dalam tempoh setahun Selasa lepas, turun antara empat dan tujuh peratus sepanjang minggu lepas, diheret turun oleh kelembapan ekonomi dunia, selain kebimbangan terhadap lebihan bekalan dalam pasaran minyak.
West Texas Intermediate (WTI) turun di bawah AS$47 setong manakala Brent susut ke paras AS$56.
Punca kemerosotan mengejut itu disumbangkan oleh pelbagai faktor.
Peningkatan inventori minyak mentah selain unjuran pengeluaran minyak syal menjejaskan harga minyak, namun kejatuhan harga diburukkan lagi oleh jualan secara menyeluruh dalam sektor kewangan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!