Kerajaan ambil alih lebuh raya, banyak manfaat rakyat terima: Guan Eng
KUALA LUMPUR- Pengguna lebuh raya bakal terima banyak manfaat susulan cadangan kerajaan mengambil alih pengendalian empat lebuh raya iaitu Kesas Holdings, Sprint Holdings, Litrak Holdings dan Smart Holdings.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tawaran bersyarat ambil alih lebuh raya tol ini juga merupakan langkah pertama kerajaan untuk kurangkan beban pengguna lebuh raya dan merealisasikan janji PH.
"Pengguna dapat penjimatan RM180 juta setahun kerana tol telah dikurangkan mengikut caj kesesakan. Ini bermakna pengguna akan menjimatkan hampir RM2 bilion sepanjang hayat konsesi keempat-empat lebuh raya ini.
"Ini menunjukan sekiranya kerajaan lama (BN) betul-betul berjiwa rakyat, mereka akan gunakan formula ini untuk kurangkan beban rakyat dan bukanlah membenarkan syarikat-syarikat swasta meraih keuntungan yang kita anggap berlebihan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanyakan rasional kerajaan untuk mengambil alih pengendalian empat tol berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, tawaran bersyarat ini apabila diluluskan pemegang saham, keempat-empat konsesi lebuh raya tersebut masih tertakluk kepada kelulusan muktamad jemaah menteri.
"Kos pengambilan sebanyak RM6.2 bilion ini akan dibiayai dengan penerbitan bon. Kutipan caj kesesakan adalah mencukupi untuk membiayai bayaran baik hutang bon sebanyak RM6.2 bilion.
"Segala kos operasi dan penyelenggaran lebuh raya tak memerlukan peruntukan Kementerian Kewangan. Dengan kata lain, kos pengambilan tersebut akan dibayar dengan sendirinya daripada kutipan caj kesesakan tanpa melibatkan sebarang perbelanjaan kerajaan," katanya.
Katanya, di samping itu, pengambilalihan empat lebuhraya ini secara langsung menjimat pembayaran cukai sekurang-kurangnya RM5.3 bilion dalam bentuk bayaran pampasan terhadap syarikat konsesi untuk membekukan kadar tol di lebuh raya berkenaan sehingga akhir hayat konsesi.
"Dalam masa ini tak perlu lagi dibayar selepas lebuh raya ini diambil alih kerajaan. Ini bermaksud kerajaan juga sama-sama menjimatkan sekurang-kurangnya RM5.3 bilion yang boleh digunakan untuk bantu rakyat seluruh Malaysia pada tahun-tahun yang akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!