Budak derita sumbing perlu bantuan

Mohd Hamidi (kiri) menyuap makanan ke Noraziana Khatijah sambil diperhatikan oleh kedua ibu bapanya.
Mohd Hamidi (kiri) menyuap makanan ke Noraziana Khatijah sambil diperhatikan oleh kedua ibu bapanya.
A
A
A

BATU PAHAT – Sepasang suami isteri di Kampung Parit Imam, di sini, merayu sumbangan orang ramai bagi membantu membiayai kos pembedahan sumbing bibir dan lelangit anaknya yang berusia 3 tahun.

Mohd Norashid Munisif, 34, berkata, dia dan isterinya, Noraziana Bhak, 35, juga terpaksa berulang alik ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) setiap bulan untuk rawatan susulan anak bongsunya, Noraziana Khatijah.

“Sejak bayi lagi Noraziana Khatijah sudah jalani dua pembedahan untuk betulkan semula sumbing pada lelangitnya serta bibirnya dan sekarang kami sedang tunggu untuk pembedahan ketiga pula.

“Doktor tetapkan 30 Julai ini untuk pembedahan ketiga bagi membetulkan gusi dan rahang anak saya di HSAJB dan saya harap keadaan kesihatan anak saya mengizinkan bagi membolehkan pembedahan ini dijalankan,” katanya.

Dia ditemui semasa menerima lawatan dan sumbangan dari Pengerusi Khas Biro Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Jati (PKAAJ) Batu Pahat, Mohd Hamidi Md Tap di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, dia yang hanya bekerja membaiki peralatan elektrik di rumahnya dan mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung mengakui pendapatannya yang diterimanya tidak menentu dan tidak cukup untuk menampung kos rawatan anaknya itu.

Mohd Hamidi (dua, kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Norashid (tiga, kiri) di Kampung Parit Imam, Batu Pahat.
Mohd Hamidi (dua, kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Norashid (tiga, kiri) di Kampung Parit Imam, Batu Pahat.

“Kami memerlukan kira-kira RM3,000 untuk kos pembedahan, pengangkutan, makanan dan tempat tinggal sepanjang anak saya dirawat di hospital dan dengan pendapatan yang tidak menentu, saya memang tak mampu untuk menyediakan wang tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kami sekeluarga pun hanya bergantung pada bantuan bulanan sebanyak RM350 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ada empat lagi anak yang bersekolah dan sebagai bapa, saya ingin lihat anak saya ini sama seperti kanak-kanak yang lain,” katanya.

Menurutnya, selain anak bongsunya dari enam beradik itu, anak keduanya, Mohamad Norashidi Hisyam, 13, juga turut mengalami penyakit yang sama, namun kesemua sesi pembedahan telah berjaya dilakukan.

Katanya, dia sekeluarga juga sudah tiga kali berpindah kerana tidak mampu untuk membayar sewa selepas rumah peninggalan keluarga mereka di Kampung Parit Imam terbakar kira-kira empat tahun lalu

“Saya harapkan selepas menjalani pembedahan ini, Noraziana Khatijah dapat bercakap dan makan macam kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Norashid di talian 0177261684 atau menyalurkannya secara terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 0100641000099694.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!