Jabatan Perikanan rampas ikan hampir RM1.8 juta
LUMUT- Jabatan Perikanan Perak menahan tiga bot pukat tunda tempatan bersama sembilan kru warga Thailand dan merampas 200 kilogram pelbagai jenis ikan dengan nilai keseluruhan hampir RM1.8 juta, di sekitar perairan Pulau Talang, Segari di sini, semalam.
Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata kesemua bot berpangkalan di Bagan Panchor, Pantai Remis itu ditahan antara 9.30 pagi hingga 11.30 pagi di tiga lokasi berasingan ketika sedang menangkap ikan.
“Bot pertama ditahan di kedudukan sembilan batu nautika Pulau Talang, Segari, manakala bot kedua di 10.5 batu nautika Pulau Talang dan sebuah lagi ditahan di 11 batu nautika di lokasi sama.
“Turut ditahan sembilan kru warga Thailand berumur antara 26 hingga 66 tahun dengan tiga kru bekerja di setiap bot berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mansor berkata pemeriksaan lanjut mendapati tiga bot berkenaan melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai selain menggunakan pekerja asing tanpa permit.
Katanya, bot berkenaan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
“Tindakan bot berkenaan bukan sahaja menceroboh kawasan tangkapan ikan nelayan tradisional, malah kegiatan itu boleh merosakkan sumber ikan terutama anak ikan,” katanya. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!