Ahmad Suaidi teruskan agenda pembangunan dan reformasi MBI
IPOH - "Saya akan teruskan agenda pembangunan dan reformasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)," itu reaksi Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim pada sidang media sempena pelantikannya di pejabat Menteri Besar Perak hari ini.
Ahmad Suaidi berkata, selain Ipoh Bersih Hijau dan Membangun, agenda lain yang akan diteruskan termasuk menambah baik sistem perbandaran di sekitar bandaraya Ipoh.
Menurut Ahmad Suaidi dia akan bermesyuarat bersama pegawai-pegawai MBI berhubung perancangan jangka panjang yang bakal dilaksanakan kelak.
"Hari ini hari pertama saya masuk pejabat. Esok saya akan berjumpa Ahli-Ahli Majlis untuk dapatkan maklum balas perkara-perkara yang perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Kemudian saya akan bermesyuarat dengan pegawai-pegawai saya untuk buat perancangan jangka panjang," katanya.
Beliau berkata, secara umumnya adalah untuk meneruskan agenda pembangunan dan reformasi MBI.
"Agenda yang berteraskan sustainable development sebagaimana Ipoh yang kita tahu sedang menuju ke arah Bersih, Hijau dan Maju.
"Selain itu, saya akan teruskan agenda pembangunan sistem perbandaran ke arah bandar pintar (smart city)," tambahnya.
Pada sidang media berkenaan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Yang dipertua Majlis Perbandaran Taiping yang baharu iaitu Borhan Abdul Halim.
Ahmad Faizal yakin MBI mampu mengulangi penarafan lima bintang sebagaimana yang diperolehi negeri itu pada 2016.
"Saya yakin dengan kepimpinan Datuk Bandar baharu dan saya yakin tidak susah untuk dapatkan penarafan berkenaan sekali lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!