Sindiket Love Scam didalangi warga Afrika tumpas
SEREMBAN – Polis berjaya menahan seramai 15 warga negara Afrika yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan Love Scam yang berlaku dalam negara.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata kumpulan sindiket tersebut berjaya dikesan melalui siasatan polis terhadap laporan yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 38 tahun pada 19 Januari lalu di Balai Polis Rantau.
Katanya, mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM27,260 itu, telah ditipu dengan tawaran kerja sebagai juruterbang di sebuah penerbangan antarabangsa, oleh seorang lelaki yang dikenali di laman sosial dengan mengunakan nama Oliver Chen Li.
"Pada Disember 2018 pengadu telah berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial yang memperkenalkan diri sebagai warga negara Singapura dan bekerja sebagai juruterbang di Vietnam Airline.
"Suspek telah menawarkan pengadu untuk menjalani temuduga sebagai juruterbang dan telah meminta RM50 untuk bayaran telefon pra bayar serta membayar RM2,630 untuk urusan imigresen bagi meluluskannya untuk menghadiri temuduga.
"Akibat percaya dengan janji tersebut, pengadu kemudiannya memasukkan sejumlah duit ke dalam tiga akaun dengan penama yang berbeza, sebelum disedari dirinya ditipu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri dekat sini hari ini.
Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintenden Aibee Ab Ghani.
Tambahnya, hasil siasatan yang dilakukan, pada 2 Julai lalu, pihaknya berjaya menahan seorang ibu tunggal berusia 54 tahun, yang merupakan salah seorang pemilik akaun terlibat.
Katanya, wanita itu yang tinggal di Skudai, Johor telah mengaku bersalah dan didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majisteret Seremban.
"Susulan tangkapan suspek wanita ini, kita berjaya mengesan sindiket Love Scam yang membabitkan 15 individu warga Afrika, (13 lelaki dan 2 wanita) berumur antara 25 hingga 43 tahun.
"Kesemua mereka ditangkap di Teluk Kemang, Port Dickson seramai tujuh orang, di Puchong (lima orang) dan Sendayan (tiga orang),"katanya.
Tambahnya, kesemua suspek kini direman oleh pihak Jabatan Imigresen selama 14 hari untuk siasatan lanjut
Katanya, kumpulan sindiket ini berpindah-randah dan baru sahaja beroperasi di Port Dickson sejak dua minggu lalu, namun berjaya ditumpaskan oleh pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!