Tazkirah di pasar borong, tarikan setiap hujung minggu
KEMAMAN - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kemaman mengambil inisiatif mengadakan tazkirah agama di Pasar Borong Dusun Nyior, Chukai setiap Sabtu sebagai tarikan baharu di pasar itu.
Ketua Biro Agamanya, Shafie Omar yang lebih dikenali sebagai Pak Awang berkata, tazkirah agama selama sejam bermula jam 8.30 hingga 9.30 pagi mula diadakan sejak April lalu dan setakat ini berjaya menarik perhatian ramai pengunjung dan peniaga.
"Dengan adanya tazkirah, peniaga dan pengunjung dapat menambah ilmu sambil berurus niaga dan ia juga sebagai usaha mencari keberkatan ketika berniaga.
"Topik tazkirah yang dibincangkan juga berkaitan perniagaan, jadi ia juga memberi panduan kepada peniaga agar sentiasa mematuhi perintah ALLAH SWT dalam mencari rezeki," katanya.
Pasar Borong Dusun Nyior mempunyai lebih 100 peniaga pelbagai jenis jualan terutama barangan basah.
Kata Pak Awang, ketika ini tazkirah diadakan di bawah dua kanopi berdekatan dengan kanopi peniaga dan ia sudah tidak mampu menampung jumlah pendengar tazkirah itu yang semakin ramai dari minggu ke minggu.
Justeru itu, pihaknya sangat mengalu-alukan mana-mana pihak atau individu yang mahu menyumbang kanopi atau wang tunai di mana sumbangan boleh disalurkan dengan menghubunginya menerusi talian 011-13755466.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!