Tiga anggota polis ditahan bersama air ketum
CHERAS - Tujuh lelaki termasuk tiga anggota polis ditahan bersama 26 botol berisi cecair disyaki air ketum di sebuah pondok membaiki kasut di Taman Desa Petaling, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, turut ditahan seorang wanita berusia 42 tahun.
Menurutnya, hasil maklumat orang ramai, ketua balai bersama anggota polis dari Balai Polis Salak Selatan menyerbu pondok terletak bersebelahan dengan sebuah kedai runcit itu kira-kira jam 9.30 malam.
Katanya, polis menahan tujuh lelaki berusia lingkungan 24 tahun hingga 54 tahun yang duduk berkumpul di dalam pondok tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemui sebuah tong ais polisterina mengandungi 26 botol 1.5 mililiter (ml)air ketum dan satu kotak berisi 51 botol disyaki ubat batuk jenis Cynadryl Syrup (anggaran: 5000 ml) dianggarkan bernilai RM1,200.
“Siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan penglibatan dan aktiviti yang dijalankan,”katanya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan ditahan di lokap Balai Polis Cheras dan direman di bawah Seksyen 117 KPJ.
Menurutnya, lima orang awam direman selama tiga hari manakala tiga anggota polis direman selama sehari bermula hari ini untuk melengkapkan siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya yang memohon orang ramai terus bekerjasama dengan polis menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!