Peralatan tokong kena kebas

Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini.
Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang penagih dadah ditahan polis selepas terlibat dalam kes curi alat sembahyang sebuah tokong di Tebuk Pulai di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, hasil risikan dan maklumat awam, polis diketuai Inspektor Mohd Saiful Zahir menahan suspek di sebuah rumah di Parit 11 Timur di sini.

"Suspek yang mempunyai 17 kes lampau jenayah dan narkotik mengaku memecah masuk tokong dan mencuri bekas tembaga bersama dengan seorang lagi rakannya yang masih bebas.

"Dalam serbuan itu, polis menjumpai dua tembikar tembaga di rumah dihuni suspek dan ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Chee Khoon berkata, hasil maklumat suspek, polis menahan seorang peniaga barangan lusuh di sebuah premis di Parit 1 Timur bagi membantu siasatan.

"Remaja lelaki berusia 19 tahun ini ditahan pada jam 12 tengah hari dan polis turut menjumpai buku resit jual beli," katanya.

Katanya, polis kini sedang memburu seorang lagi rakan suspek berusia lingkungan 30-an yang juga penagih dadah terlibat dalam kes sama.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, seorang pengawal keselamatan tokong berusia 51 tahun sebelum itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

"Pengadu (pengawal keselamatan) melakukan rondaan sekitar tokong pada jam 5.30 pagi menyedari lampu minyak sembahyang dan bekas colok yang diletakkan bersebelahan tokong hilang pada 1 Januari lalu.

"Pengadu kemudian melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang sekitar tokong mendapati dua lelaki mengambil alat sembahyang berkenaan menaiki Perodua Kancil.

"Semua suspek masih ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!