Pelawaan Tun M tidak jejas hubungan Pas-UMNO
KUALA NERUS - Pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak semua parti politik Melayu menyertai Bersatu tidak memberi kesan terhadap kerjasama di antara Pas dan UMNO ketika ini.
Naib Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama kedua-dua parti teras Melayu dan Islam itu tetap berjalan seperti dirangka menerusi beberapa siri mesyuarat serta pertemuan dijayakan di peringkat kepemimpinan tertinggi juga akar umbi.
“Kalau ada perkembangan baharu dari segi penyertaan kita akan bincang secara bersama, jadi tidak ada istilah Pas atau UMNO buat keputusan sendiri. Yang penting pada waktu ini adalah untuk memastikan keharmonian dalam masyarakat tidak terjejas.
“Manusia boleh mempunyai pelbagai pandangan dalam parti politik masing-masing tetapi lebih mustahak ialah politik harmoni yang tidak memusnahkan termasuk jauh daripada fitnah dan adu domba,” katanya selepas merasmikan Bengkel Penyediaan Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Terengganu (2021-2030) di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu berikutan keadaan parti politik masyarakat Melayu kini yang terbahagi enam.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu parti baharu, cukup 4 parti Melayu sedia ada: Mahathir
Pada masa sama, Dr Mahathir turut menjelaskan bahawa penubuhan lebih banyak parti tidak akan menyelesaikan masalah yang timbul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!