Indonesia hantar pulang 210 tan sisa sampah ke Australia
JAKARTA - Indonesia hari ini memaklumkan ia akan menghantar semula lebih 210 tan sampah ke Australia selepa beberapa negara Asia Tenggara lain mengambil langkah sama memulangkan semula kontena sampah yang dieskport negara kaya.
Jurucakap Agensi Kastam Jawa Timur memaklumkan lapan kontena yang dirampas di bandar Surabaya itu bukan hanya sisa kertas malah ia juga mengandungi bahan berbahaya termasuk botol plastik, lampin pakai buang terpakai, e-sisa dan tin.
"Pemeriksaan yang dilakukan Kementerian Alam Sekitar Indonesia menyarankan kesemua kontena itu dieksport semula. Langkah ini dibuat untuk melindungi orang ramai dan alam sekitar terutamanya di Jawa Timur daripada sisa sampah berbahaya dan toksik atau B3," katanya.
Difahamkan, kontena sampah itu dihantar oleh firma dari Australia, Oceanic Multitrading dengan bantuan syarikat tempatan.
Minggu lalu, Jakarta turut mengumumkan ia menghantar semula 49 kontena sisa sampah ke Perancis dan negara maju lain.
Keputusan China melarang import sisa plastik asing pada 2018 telah menyebabkan kitar semula global terjejas dan mengakibatkan negara membangun terutamanya di Asia Tenggara terpaksa menanggung masalah tersebut.
Mei lalu, Malaysia juga mengambil langkah tegas menghantar pulang 450 tan sisa plastik ke negara asalnya termasuk Australia, Bangladesh, Kanada, China, Jepun, Arab Saudi dan Amerika Syarikat.
Bulan lalu, Filipina turut melakukan tindakan sama menghantar semula 69 kontena sisa sampah ke Kanada.
Menurut Tabung Alam Sedunia (WWF), kira-kira 300 juta tan sisa plastik dihasilkan pada setiap tahun dan kebanyakannya kini mencemari laut serta menjadi krisis antarabangsa yang semakin membimbangkan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!