Ahli Parlimen, masyarakat awam beri input pindaan Akta MKN

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen bakal membentangkan cadangan pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Kabinet, sebelum sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa perkara yang dibangkitkan berhubung Akta MKN, akan dibincangkan bersama Ahli Parlimen dan masyarakat awam, sebelum ia dibawa ke Kabinet.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet bersetuju untuk mengembalikan kuasa mengisytihar darurat kepada Yang di-Pertuan Agong, namun ada pihak mahu akta itu dimansuhkan sepenuhnya.

“Perlu untuk mengingatkan masyarakat, bahawa kuasa kepada MKN ini adalah untuk menjaga dan memelihara kawasan keselamatan.Contohnya, bagaimana menangani pencerobohan sempadan oleh tentera asing yang kini berlaku sama ada secara sengaja atau tidak, atau kemasukan gerombolan bersenjata.

“Juga untuk menangani masalah bencana alam besar seperti di Manik Urai yang perlu pembabitan polis, bomba dan tentera, yang memerlukan bidang kuasa tertentu.

“Hal ini akan kita bincangkan dengan Ahli Parlimen dan masyarakat awam sebelum dimuktamadkan dan dibawa kepada jemaah Menteri, sebelum sesi akan datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di sini hari ini.

Pada 9 April lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin membentangkan pindaan Akta MKN untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, yang antara lain memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai ‘kawasan keselamatan’.

Bagaimanapun, bacaan kali kedua rang undang-undang itu yang dijadualkan pada sesi sebelum ini, ditangguhkan ke sesi kali ini dan menurut aturan mesyuarat dan usul hari ini, ia berada pada giliran keempat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen akan memanggil semua pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) minggu depan.

“Kadang-kadang mereka ada kesukaran mengundang pegawai kanan untuk beri taklimat, atau keterbatasan kuasa Parlimen itu sendiri.

“Kita akan bincang masalah yang mereka hadapi untuk memperkasa peranan Parlimen seperti dijanjikan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!