Pengarah teknikal diwajibkan bagi setiap pasukan Liga-M

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (dua,kiri) bersama Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal (dua,kanan) melihat buku pada Pelancaran Majlis DNA Bola Sepak Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (dua,kiri) bersama Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal (dua,kanan) melihat buku pada Pelancaran Majlis DNA Bola Sepak Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

JAWATAN pengarah teknikal wajib diwujudkan dalam setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M), kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin menegaskan kedegilan dan kegagalan beberapa persatuan bola sepak negeri (FA) untuk melantik pengarah teknikal amat dikesali, dan badan induk itu bersedia untuk memandatorikan perkara itu dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kegagalan FA untuk menyediakan jawatan itu bukan sahaja membantutkan usaha melahirkan pemain berkualiti, malah ia turut menjejaskan ekosistem bola sepak di peringkat akar umbi.

"Kita perlu menekankan perkara ini (pembangunan akar umbi) untuk memastikan ahli gabungan daripada persatuan bola sepak negeri ini lebih serius dan ia bermula dengan mereka perlu melantik pengarah teknikal.

"FAM akan menetapkan jawatan pengarah teknikal sebagai mandatori dalam pelesenan kelab dan saya begitu serius mengenai perkara ini," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran DNA Bola Sepak Malaysia di sini, hari ini.

Hamidin berkata, jawatan pengarah teknikal dan pembangunan akar umbi saling melengkapi dan ia amat diperlukan dalam menempuhi cabaran landskap bola sepak moden.

"Kalau nak bangunkan bola sepak Malaysia, mereka (FA) kena sedar pembangunan akar umbi dan posisi pengarah teknikal perlu diwujudkan. Tanpa dua elemen ini dalam bola sepak moden, bola sepak negara tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Pada majlis yang julung kali diadakan itu, FAM melancarkan DNA bola sepak negara sebagai rujukan bagi semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sambil menekankan formasi 4-3-3 sebagai asas permainan Malaysia, ia adalah manifestasi falsafah bola sepak yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi peringkat umur bermula dari akar umbi sehingga elit.

Jelas Hamidin, DNA ini akan diselaraskan kepada semua FA dan kelab termasuk Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang, bagi diikuti oleh semua pihak bermula daripada akar umbi.

"FAM kena keluarkan duit lagi untuk program macam ini dan saya begitu serius, jadi FA atau mungkin kelab perlu ikut. Kita akan terus mendidik ahli gabungan dan perkara penting adalah mengadakan (jawatan) pengarah teknikal," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!