Struktur baharu hak siaran Liga-M satu langkah tepat
KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memperkenalkan penstrukturan baharu hak penyiaran Liga Malaysia (Liga-M), dianggap sebagai satu langkah tepat dalam menjana pendapatan secara berterusan, kepada semua pasukan bersaing dalam liga berkenaan.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Faisal Mohd Piah berkata, langkah berani MFL itu bertepatan dengan majoriti negara maju lain yang mengenakan caj bagi tontonan, dalam kebanyakan sukan-sukan utama seperti tinju dan kriket.
Beliau bagaimanapun berharap MFL mampu bersabar dalam fasa awal pelaksanaan dan yakin dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun, peminat bola sepak negara mampu menerima pendekatan ini sepenuhnya.
“Jika bayaran dikenakan RM30 ke bawah dan peminat boleh menikmati semua siaran, saya rasa itu langkah yang baik oleh MFL, kerana ia mewujudkan situasi menang-menang antara peminat dan persatuan negeri, terutama dalam soal meraih pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL.
Pada masa sama, Ahmad Faisal optimis langkah berkenaan dapat dijadikan sebagai sebahagian budaya oleh peminat bola sepak di negara ini, sekiranya mereka ingin membantu kemajuan pasukan masing-masing.
“Kita ini rakyat Malaysia masih lagi berada di tahap mentaliti segalanya kena percuma, sudah terbiasa daripada dulu lagi dan perkara ini tidak terkecuali.
“Langkah ini dijangka drastik kepada kebanyakan peminat, tetapi kita kena bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara maju, malah ini cara terbaik agar perkembangan bola sepak dapat dibantu daripada semua aspek,” kata Ahmad Faisal.
MFL pada minggu lepas mengumumkan kemasukan rakan kongsi baharu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia, bermula musim 2020.
Menerusi penstrukturan semula Liga Malaysia ini menyaksikan hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan, dengan membuat bayaran langganan siaran langsung perlawanan yang disiarkan dan hasil bayaran berkenaan disalurkan kepada setiap pasukan bertanding.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!