Maia Estianty mengaku pernah kemurungan...

Maia Estianty dengan suaminya, Irwan Mussry - FOTO INSTAGRAM MAIA
Maia Estianty dengan suaminya, Irwan Mussry - FOTO INSTAGRAM MAIA
A
A
A

BEKAS isteri Ahmad Dhani, Maia Estianty menjelaskan penyakit kemurungan yang dialaminya sebelum ini semakin pulih malah dirinya semakin bahagia selepas bercerai.

Menerusi laporan Tribunnews.com, Maia terpaksa mendapatkan khidmat pakar psikiatri selepas depresi akibat perbuatan curang bekas suaminya yang menjalinkan hubungan cinta bersama rakan duetnya, Mulan Jameela.

"Sebelum ini saya berasa sangat tertekan. Sudah beberapa tahun batin saya menderita disebabkan oleh perampas.

"Saya diberi pilihan sama ada mahu kembali bersama Ahmad Dhani kalau bersetuju untuk berpoligami...

"Tetapi saya tak mahu bermadu akhirnya saya buat keputusan untuk bercerai. Ternyata saya lebih bahagia sekarang ini," katanya.

Maia berkata demikian menerusi sebuah wawancara bersama program Just Alvin pada Isnin.

Menerusi wawancara itu juga, Maia berkongsi mengenai penderitaannya berdepan kemelut rumah tangga hingga akhirnya memutuskan untuk bercerai pada tahun 2008 selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga.

Dalam pada itu, Maia turut bersikap sinis apabila menganggap perbuatan jahat akan menerima balasan setimpal apabila bekas suaminya itu kini sedang menjalani hukuman penjara.

Artikel Berkaitan:

"Saya lega memiliki kehidupan yang lebih baik malah sudah lama tidak ketawa besar.

"Yang baik akan dibalas baik, perbuatan jahat akan terima balasannya. Mungkin Tuhan sudah kembalikan semula kehidupan yang baik untuk saya.

"Apa yang berlaku sebelum ini saya anggap ujian kerana Dia masih sayangkan saya," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Jakarta Selatan pada 28 Januari lalu menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan selepas Ahmad Dhani didapati bersalah atas kesalahan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya.

Namun Maia Estianty sudahpun berkahwin dengan seorang ahli perniagaan Irwan Mussry pada 28 Oktober 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!