Bakar Arang dijamin tidak jadi seperti Pasir Gudang
ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Kerajaan Kedah memberi jaminan kawasan Bakar Arang, Sungai Petani dekat sini, tidak akan mengalami nasib sama seperti mana Pasir Gudang, Johor akibat pencemaran industri.
Exco Hal Ehwal, Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min berkata, pihaknya memahami kebimbangan dan memandang serius aduan penduduk berkaitan isu kilang kitar semula melibatkan sisa plastik dari luar negara didakwa mengakibatkan pencemaran udara.
"Bagaimanapun, kita sudah ambil beberapa langkah proaktif sejak beberapa bulan lepas dalam usaha mengekang isu pencemaran industri di Sungai Petani antaranya kira-kira 15 kilang kitar semula tidak berlesen disita pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui keputusan dalam mesyuarat Exco pada 5 April lalu.
"Malah, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi lain mengadakan pemeriksaan berterusan sebanyak enam kali ke atas kilang itu pada Mei dan Jun lalu," katanya pada sidang media berkaitan isu kualiti udara di Kedah khususnya Sungai Petani di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Simon berkata, kerajaan negeri turut mengeluarkan arahan kepada PBT supaya tidak membenarkan lagi mengeluarkan lesen baharu kepada kilang kitar semula membabitkan sisa dari luar negara.
"Selain itu, kita turut mengeluarkan arahan pemotongan bekalan elektrik dan air demi menghentikan operasi kilang tidak berlesen memandangkan ada pengusaha premis masih degil dan ingkar arahan diberikan itu," katanya.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh menolak dakwaan yang mengaitkan masalah kesihatan dialami penduduk setempat dengan isu pencemaran udara daripada kilang.
Menurutnya, semua masalah kesihatan penduduk tidak terus dikaitkan dengan isu pencemaran udara hingga menimbulkan rasa panik dalam kalangan orang ramai.
Dalam pada itu, Pengarah JAS Kedah, Tunku Khakausar Tunku Fathahi mengesahkan kualiti udara direkodkan di kawasan berkenaan berada di tahap baik dan sederhana baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!