Sanggup menjaga anak, sepupu OKU mental
KUALA KRAI - Tulus hatinya apabila terus menjaga amanah ALLAH SWT iaitu anaknya yang seorang kurang upaya (OKU) mental.
Mohamad Ahmad, 63, dan isterinya Maznah Omar 55, tabah menjaga anak sulung mereka Mohd Helmi Hasmizan,35, yang menghidap masalah itu sejak kecil.
Itulah naluri ibu dan ayah yang tidak mahu menyusahkan orang lain untuk menjaga anak syurganya itu.
Pasangan yang tinggal di Kampung Gatal, dekat sini, menganggap semua itu ketentuan Yang Maha Esa dan ujian kecil buat mereka.
Namun, tidak hanya itu, tulusnya pasangan ini apabila mengambil keputusan untuk sama-sama menjaga sepupu Maznah yang juga menghidap masalah sama seperti anak mereka.
Kini mereka perlu menjaga Mohd Safari Jusoh,51 bersama-sama anaknya Mohd Hemi.
Menurut Mohamad, dia faham situasi penghidap penyakit tersebut dan nekad menjaga mereka selagi masih diberikan kesihatan yang baik memandangkan kedua-duanya tidak membebankan dirinya cuma perlukan perhatian pada setiap masa selain harus dijaga seperti anak kecil.
"Bila waktu makan, mereka perlu diberi makanan dan terpaksa disuruh makan, kalau tak, mereka tak akan menyentuhnya terutama Mohd Safari.
"Sama juga, kalau nak suruh mandi... memang kena paksa," katanya menceritakan rutinnya sepanjang menjaga kedua-dua insan istimewa tersebut.
Tidak menafikan, adakalanya kedua-duanya bertindak agresif hingga menyukarkan Mohamad mengawalnya dengan kudrat yang makin lemah.
"Saya pernah minta bantuan pihak tertentu untuk bawa Mohd Safari ke hospital bagi mendapatkan rawatan agar mudah saya menjaganya memandangkan dia tak mahu ke hospital.
"Malangnya hingga kini masih belum mendapat keputusan seperti yang diharapkan.
"Saya amat berharap agar dia dapat dirawat seterusnya boleh menjalani kehidupan lebih tenang biarpun dia tidak sempurna seperti orang lain," katanya.
Katanya lagi, disebabkan kedua-duanya memerlukan penjagaan rapi, Mohamad tidak bekerja kerana bimbangkan keselamatan mereka jika dibiarkan tanpa pengawasan.
"Kini hanya isteri yang bekerja sebagai tukang sapu. Duit gaji tu dapatlah beli keperluan harian.
"Saya akan jaga Mohd Safari dan anak saya ni.
"Walaupun hanya berada di rumah setiap hari saya bersyukur, anak-anak lain yang telah bekerja tak pernah lupakan kami. Mereka sering menghulurkan wang perbelanjaan, tambahan sekarang hanya anak bongsu masih belajar, yang lain kesemuanya telah bekerja dan membantu meringankan tanggungan kami," katanya.
Keikhlasan dan kesabaran Mohamad menjaga anak sulung serta sepupu isterinya itu mendapat perhatian Pengerusi Cakna merangkap Ketua Wanita Keadilan Kuala Krai, Salema Sapie yang melawat mereka.
Salema ketika lawatan tersebut berjanji untuk mengetengahkan masalah dihadapi Mohamad kepada Jabatan Psikiatri Hospital Kuala Krai.
"Kita akan bincangkan cara untuk membolehkan Mohd Safari dirawat seterusnya dia dapat menjalani kehidupan seperti orang kebanyakan.
"Saya difahamkan pesakit seperti mereka boleh dirawat di rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!