Apabila kampung sudah jadi bandar

A
A
A

DUNIA kita kian mengecil. Benar sekali metafora ini. Apa yang diistilahkan sebagai global village pada 1980 oleh ahli falsafah Kanada, Marshall McLuhan di mana kemajuan komunikasi mengecilkan dunia, kini benar-benar berlaku.

Jika kita merantau ke mana-mana bandar raya dunia dan singgah ke gedung perniagaan, kita akan dapati jenama-jenama antarabangsa terkenal menghiasinya.

Kita akan temui jenama fesyen Chanel, Hermes dan Prada. Jenama pakaian sukan Jordan, Puma dan Converse manakala jenama makanan segera Subway, Pizza Hut dan Starbucks serta jenama kenderaan Mercedes, BMW dan Toyota.

Di gedung-gedung perniagaan dari Kuala Lumpur ke New York, London dan Tokyo, inilah jenama-jenama yang akan muncul di pandangan mata.

Jadi, berada di Melbourne seperti balik kampung layaknya kerana jenama-jenama yang ada di tanah air turut ada di negara orang!

Komunikasilah yang membentuk wajah dunia menjadi satu. Sistem pengangkutan udara memainkan peranan mendekatkan segala destinasi.

Penerbangan dari kota Singapura ke New Jersey, Amerika Syarikat hanya mengambil masa 19 jam! Seolah-olahnya jika pada pagi Ahad seseorang terbang dari Singapura ke New Jersey, dia boleh kembali berada di Singapura pada esok malam.

Komunikasi elektronik untuk siaran televisyen juga begitu pantas. Pengeboman perkampungan di Palestin boleh ditonton secara real time di rumah!

Artikel Berkaitan:

Tidak lama lagi dengan penggunaan teknologi 5G secara meluas, wartawan Al-Jazeera di lokasi dapat berbalas-balas diskusi dengan penerbit rancangan di stesennya di Doha, Qatar.

Peranan internet tidak perlu diulas lagi. Jaringan sesawang menerusi kabel dasar laut atau dihubung dengan satelit di angkasa membolehkan kita memantau apa sahaja dengan hujung jari.

Penerbangan ayah dan ibu ke Makkah pun boleh dipantau di internet. Jika malas melihat kapal belayar di laut, tekan sahaja butang komputer dan kita boleh mengekori, malah sama-sama memasuki dek ISS atau International Space Station untuk melihat angkasa raya ciptaan ALLAH SWT.

Pada hari ini, sama ada kita tinggal di bandar mahupun di kampung, kita semua sama-sama punyai akses kepada semua pengetahuan dan maklumat. Dia juga tidak perlu menunggu Ali, drebar teksi pulang dari kota untuk menyampaikan berita terkini di kedai kopi. Sebaliknya mereka boleh menatap apa yang ditonton oleh orang bandar pada waktu yang sama melalui internet.

Apabila akses kepada berita dan cerita sama-sama boleh didapati oleh mereka yang tinggal di kampung atau di bandar, maka public opinion lebih cepat dan mudah dibentuk.

Platform berita dari portal dan media sosial mudah dicapai oleh sesiapa sahaja.

Kesannya? Dengan mudahnya maklumat diperoleh oleh mereka di kampung dan di bandar, world view mereka juga sama.

Perangai, adab sopan dan akhlak mereka jadi serupa. Jika dahulu, bila orang bandar pulang ke kampung, mereka amat menjaga tata tertib. Bila memandu pun perlahan dan bersalam dengan mereka yang ditemui tidak kira kenal atau tidak.

Tetapi hari ini, oleh kerana karektor orang kampung dan bandar boleh dikatakan sudah serupa kerana terdedah dengan pengaruh dari seantero dunia.

Kalau orang bandar sudah kerap makan KFC, orang kampung pun dah lebih suka KFC daripada ayam golek. Mereka tidak lagi beli biskut mayat secara kilo. Sebaliknya mereka beli biskut yang dibungkus cantik di mini market. Baju tidak lagi basuh di sungai kerana kedai dobi sudah ada di kampung.

Sebenarnya dengan latar pemikiran dan pendedahan yang serupa adalah lebih mudah untuk pemerintah membentuk pemikiran rakyat ke suatu visi.

Namun, trend pemikiran kebandaran orang kampung ini membawa bersama sikap konsumerisme.

Orang kampung sudah tertiru perangai orang bandar yang hidup dengan gaya serta suka membeli daripada membuat sendiri.

Orang kampung lebih selesa bekerja di kilang bukan di bendang. Sayur dan buah-buahan tidak dipetik di sekeliling rumah, sebaliknya dibeli di pasar raya.

Akhirnya, mereka hidup dalam kebergantungan tuntutan dunia moden. Tidak lagi selesa berusaha dan berdikari ~ tanam sendiri untuk makan sendiri.

Kos kehidupan di kampung sudah meningkat. Di kampung pun sudah ada rumah homestay dan rumah sewa.

Suatu hari nanti tinggal di kampung pun menjadi mahal. Ke mana orang kota hendak kembali seandainya kos kehidupan di kampung tidak banyak beza daripada di kota?

* Norden Mehamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!