Bersahabat kerana ALLAH SWT

A
A
A

KEHIDUPAN biasanya tidak sunyi daripada persahabatan tidak kira sama ada kawanan haiwan, tumbuh-tumbuhan ataupun seorang manusia.

Istilah persahabatan membawa maksud kesetiaan, saling faham-memahami dan lengkap-melengkapi.

Dalam istilah Melayu, terdapat perkataan ‘setia kawan’ menggambarkan betapa utuhnya kesetiaan seorang kawan yang dikenali sebagai sahabat.

Seorang sahabat ialah penghibur ketika senang dan peneman di kala susah. Alam Melayu amat mengiktiraf persahabatan sebagai asas kedua selepas pertalian kekeluargaan.

Pertalian tersebut dibina atas dasar kepercayaan dan kesetiaan.

Dalam Islam persahabatan amat penting dan ia bukan hanya ditunjangi kesetiaan tetapi didasari akidah dan agama. Akidah dan agama adalah kayu ukur dalam meletakkan kesetiaan.

Tiada kesetiaan yang akan diberi sekiranya ia melibatkan kemaksiatan kepada ALLAH SWT. Dan kesetiaan sesama makhluk (sahabat) akan diberi selama mana ia tidak membawa kepada kemungkaran kepada ALLAH SWT.

Persahabatan yang dibuat kerana ALLAH ini akan mewujudkan sifat jujur dan ikhlas dalam persahabatan. Tiada curiga dan tiada kesempatan diambil antara satu sama lain dan kesemua yang dilakukan adalah untuk mendapatkan keberkatan ALLAH SWT.

Ujian

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun, persahabatan biasanya diuji dengan hasutan lembut yang berniat untuk merobekkan perhubungan yang erat. Hasutan-hasutan itu muncul daripada circle yang berpunca daripada perasaan dalaman yang terpengaruh dengan anasir jahat.

Namun, persahabatan yang didasarkan kepada ALLAH SWT akan kekal utuh kerana tunjangnya adalah Pencipta Yang Maha Mengetahui. Segala syak dan ragu akan berkubur ditenggelami kepercayaan yang utuh dan redha antara satu sama lain.

Dua sahabat yang setia kerana ALLAH SWT adalah salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat jaminan untuk berada di bawah naungan ALLAH SWT.

Rasulullah SAW bersabda sebagaimana hadis Abu Hurairah yang bermaksud: “Ada tujuh golongan akan dinaungi ALLAH dengan naungan ‘Arsy-Nya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali hanya naungan-Nya semata.

1. Imam (pemimpin) yang adil.

2. Pemuda yang tumbuh besar dalam beribadah kepada Rabbnya.

3. Seseorang yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid.

4. Dua orang yang saling mencintai kerana ALLAH di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana ALLAH.

5. Seorang lelaki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang berkedudukan lagi cantik rupawan lalu dia mengatakan: “Sungguh aku takut kepada ALLAH.”

6. Seseorang yang bersedekah lalu merahsiakan sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

7. Dan orang yang berzikir kepada ALLAH pada waktu sunyi, lalu berlinanglah air matanya. Ini membuktikan bahawa persahabatan yang didasarkan kepada agama adalah diiktiraf ALLAH SWT sebagai persahabatan mulia dan dirahmati-Nya.

”Puncak kepada persahabatan ini adalah semata-mata kerana ALLAH tanpa didasarkan kepentingan peribadi baik ia kerana kuasa mahupun kerana harta. Ia terikat kerana ALLAH SWT dan terungkai juga kerana ALLAH SWT.

Persahabatan yang didasarkan kepada Islam ini akan melahirkan kekuatan dan perpaduan. Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Orang Mukmin dengan orang Mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain” (Sahih Muslim).

Ia bagaikan sebuah bangunan di mana kekuatannya adalah bukan kerana berdiri sendirian sebaliknya menjadi kuat lantaran keterikatan batu bata yang menjadikannya sebagai sebuah bangunan yang kukuh. Saling kuat menguatkan di antara satu sama lain hinggakan ia mampu tegak dan bertahan dengan ujian ribut dan panas.

Lantaran itu, perpaduan ummah sebenarnya telah mempunyai formula tersendiri yang dipersetujui oleh segenap Muslim yang taat kepada ALLAH SWT iaitu bersahabat erat semata-mata kerana ALLAH SWT.

* Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!