Bom ikan: PPM perluas operasi sehingga ke pasar ikan
KOTA KINABALU - Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah memperluaskan operasi sehingga ke pasar ikan untuk membanteras aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata operasi tersebut memberi tumpuan terhadap peniaga yang menjual ikan dipercayai hasil daripada aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan.
"Operasi ini penting bagi menyekat rantaian penjualan dan permintaan terhadap ikan ini sekitar bandar raya ini. Kita juga percaya bahawa jika sekiranya dapat mengesan dan menyekat rantaian penjualan dan permintaan terhadap ikan bom ini, nescaya individu yang melakukan aktiviti pengeboman ikan ini tidak dapat menjual ikan bom tersebut di pasaran dan seterusnya aktiviti pengeboman ikan dapat dibendung pada peringkat awalnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata untuk membanteras aktiviti berkenaan, peniaga ikan seharusnya berniaga secara jujur dan hendaklah mengetahui sumber ikan tersebut diperoleh supaya pembeli dapat menikmati ikan yang segar dan tidak tercemar.
"Orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan dan penjualan ikan yang dibom, boleh salurkan maklumat kepada balai polis yang terdekat," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!