Timbalan Menteri nafi rancang ubah subjek Sejarah
SHAH ALAM - Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menafikan dakwaan kononnya beliau merancang untuk mengubah subjek Sejarah sekolah rendah dan menengah, menggunakan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina.
Nie Ching menegaskan, laporan yang tular di media sosial dan dipetik beberapa buah portal baru-baru ini adalah palsu serta disifatkan tidak berasas, selain cuba memainkan sentimen perkauman.
Beliau turut memberi amaran agar pihak terbabit menarik balik dan menggugurkan berita tersebut serta-merta.
"Sekiranya tidak, saya tidak akan teragak-agak mempertimbangkan tindakan undang-undang kerana laporan sedemikian cuba memburukkan diri saya dan juga Kementeri Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan semula bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sudah bermula pada 2017 dan KPM telah menambah baik kurikulum sedia ada untuk semua mata pelajaran.
"Jawatankuasa Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks telah dibentuk pada tahun sama iaitu sebelum saya dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 2 Julai 2018.
"KSSR (Semakan 2017) Buku teks Sejarah bagi Tahun 4 pula telah selesai pada 2017. Justeru, adalah mustahil bagi saya untuk campur tangan terhadap penggubalan dan semakan semula kurikulum Sejarah, apatah lagi melantik mana-mana 'team' DAP atau NGO Cina untuk memasukkan input berkaitan dengan sejarah DAP," katanya.
Menurutnya, sebarang mesyuarat yang diadakan antara mana-mana NGO dan jawatankuasa tersebut hanya sekadar memberi cadangan terhadap kurikulum Sejarah bagi KSSR (semakan) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
"Saya sendiri tidak hadir dalam pertemuan yang dimaksudkan antara NGO dan jawatankuasa tersebut.
"Saya yakin dengan kebijaksanaan dan kewibawaan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks yang profesional dalam membuat keputusan sewajarnya berkenaan penggubalan dan penambahbaikan kurikulum Sejarah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!