Johor kembali kekalkan had umur belia kepada 40 tahun

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri kembali dengan pendirian mengekalkan had umur belia di Johor kepada 40 tahun seperti diumumkan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali berkata, pendirian itu sehinggalah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) diwartakan pada 2021.

"Selepas perbincangan lanjut dan atas nasihat beberapa pihak, kerajaan negeri akan memperhalusi semula implikasi berkaitan pindaan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang telah diumumkan.

"Justeru, kerajaan negeri mengekalkan semula had umur belia di negeri ini kepada 40 tahun seperti yang diumumkan terdahulu oleh Menteri Besar Johor semalam sehinggalah akta ini diwartakan pada 2021 nanti," katanya, di sini semalam.

Sheikh Umar berkata, langkah untuk kekal dengan pendirian tersebut bertujuan memastikan tempoh masa persediaan yang mencukupi agar ia dapat dibuat dengan lebih teliti dan berhati-hati.

Katanya, dalam menuju ke arah pewartaan Rang Undang-Undang (RUU) 688 tersebut pada 2021, kerajaan negeri akan terus mengkaji bagi mengenal pasti kesesuaian pelaksanaannya di Johor.

"Tempoh persediaan ini adalah sebahagian daripada proses reformasi yang panjang dan penuh berliku yang harus dihadapi oleh semua pihak," katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan negeri mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun dan merasakan wajar untuk ia dikekalkan.

Artikel Berkaitan:

Tidak lama selepas itu, Sheikh Umar memberitahu kerajaan negeri menerima baik pindaan had umur belia 15 hingga 30 tahun seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Johor semalam.

Bagaimanapun, Sheikh Umar sekali ini mengeluarkan kenyataan kerajaan negeri mengekalkan semula had umur belia 15 hingga 40 tahun seperti diumumkan Menteri Besar sebelum ini, lewat malam semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!