Stadium jadi tempat lepas gian
SUNGAI BESAR - Kegiatan sekumpulan mat rempit melepaskan 'gian' berlumba dan membuat bising lumpuh apabila polis membuat serbuan di Stadium Sungai Besar di sini semalam.
Pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam melakukan Op Motosikal selama tiga jam bermula 5 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kumpulan mat rempit berusia 17 hingga 23 tahun ini bukan sahaja berlumba di kawasan membahayakan orang awam tetapi turut menimbulkan suasana bising dan mengganggu ketenteraman penduduk.
"Polis membuat serbuan dan mengepung kawasan sekitar stadium bagi menahan mereka terlibat dan daripada keseluruhan 59 motosikal diperiksa, sebanyak 93 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Sebanyak tujuh motosikal disita kerana melakukan pengubahsuaian yang tidak diluluskan dan seramai 73 individu diperiksa polis sepanjang operasi dijalankan dan kesemua mereka negatif dadah," katanya.
Menurut Chee Khoon, operasi seperti itu akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan.
"Kita harap ibu bapa lebih tegas dan sentiasa memerhatikan pergerakan anak-anak khususnya remaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!