Had umur belia: Kerajaan kaji tindakan Johor buat pusingan U

Tun Mahathir - FOTO SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Tun Mahathir - FOTO SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji tindakan kerajaan Johor yang membuat pusingan U sebanyak dua kali berhubung pendirian negeri itu terhadap pindaan had umur belia kepada 15 hingga 30 tahun, daripada 15 kepada 40 tahun sebelum ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji tindakan Johor yang beberapa kali mengubah had umur belia sedangkan Johor dipimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita nak kaji apa kesannya, mengapa mereka buat begini. Kita tak tahu dengan mendalam mengenai tindakan kerajaan Johor ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Had umur belia di Johor kekal 15 hingga 40 tahun

Johor ubah keputusan had umur belia

“Apa pun, ini adalah masalah kerajaan Johor sendiri dan saya tidak bertanggungjawab atas perkara itu dan tidak dapat jawab (mengapa pusingan U berlaku),” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan Johor yang membuat kejutan apabila mengekalkan semula had umur belia di negeri itu kepada 40 tahun, hanya selepas lapan jam menerima pindaan umur belia 15 hingga 30 tahun, malam semalam.

Artikel Berkaitan:

Petang semalam, media melaporkan Johor menerima baik pindaan umur belia 15 hingga 30 tahun yang diputuskan kerajaan Persekutuan dan mendapat konsensus Majlis Presiden PH.

Ditanya mengenai dakwaan keputusan terbaharu kerajaan Johor itu kerana campur tangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Dr Mahathir berkata, beliau tidak tahu mengenai khabar angin itu.

“Saya tak boleh komen berdasarkan khabar angin, saya tak tahu... ini baru dengar,” ujarnya.

Pada 3 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!