Pendakwa raya sekali lagi fail notis usul tangguh kes 1MDB

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta memfailkan notis usul bagi memohon perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri itu berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditunda.

Pendakwa raya selaku pemohon memfailkan notis usul itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dengan menamakan Najib selaku responden.

Melalui notis usul itu, pendakwa raya memohon perintah supaya perbicaraan kes 1MDB ditunda sementara menunggu penyelesaian perbicaraan kes SRC diselesaikan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed menerusi afidavit sokongan yang diikrarkan bersama notis usul itu berkata, perbicaraan kes SRC telah bermula 3 April lalu dan berterusan sehingga 15 Ogos ini di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.ARTIKEL BERKAITAN: Rayuan Tommy ditolak, bicara 1MDB tetap bermula 19 Ogos

Menurut Budiman, sehingga kini pihak pendakwaan telah memanggil 45 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan dan pihak pendakwaan bercadang untuk memanggil lebih kurang 20 saksi lagi, tertakluk kepada perubahan keadaan yang dinamik.

"Bagi tujuan perancangan perbicaraan, adalah mustahil untuk perbicaraan kes SRC akan dapat ditamatkan pada tarikh akhir yang telah ditetapkan iaitu pada 15 Ogos ini. Maka wajarlah permohonan (penangguhan) ini," katanya.

Sementara itu, perbicaraan kes 1MDB di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dijadualkan bermula pada 19 Ogos hingga 22 Ogos dan bersambung pada 26 Ogos hingga 29 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!