Patut jangan lantik Moorthy awal-awal lagi, kata Pas

Hashim (kiri) bertanyakan sesuatu kepada bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abd Hamid semasa menziarahi keluarga tersebut di Kampung Tebengau, Kuala Kedah. - Foto Facebook Pas
Hashim (kiri) bertanyakan sesuatu kepada bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abd Hamid semasa menziarahi keluarga tersebut di Kampung Tebengau, Kuala Kedah. - Foto Facebook Pas
A
A
A

ALOR SETAR - Pas melihat gesaan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy meletakkan jawatan sudah terlambat apabila melihat ramai pihak yang kesal dengan pelantikan tersebut.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pihaknya dari awal lagi tidak bersetuju dengan pemilihan Pengerusi Hindraf itu apabila melihat pemikiran dan agenda yang diperjuangkan olehnya sebelum ini.

Menurutnya, latar belakang senator tersebut seharusnya menjadi rujukan terlebih dahulu sebelum dipilih untuk mengisi jawatan penting dalam membentuk kerajaan PH hari ini.

Patut jangan lantik dia awal-awal lagi untuk menjadi menteri. Dia memang seorang yang kita tahu pemikiran dia, cara dia dan apa agenda dia.

"Tak sepatutnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantiknya menjadi menteri," katanya yang menjawab gesaan ramai pihak yang mahu Moorthy meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Menteri Perpaduan.

Malah bekas Adun Sanglang itu berkata, tidak ada satu jawatan pun pada hematnya yang sesuai buat Moorthy termasuk sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Jelasnya, pihaknya juga kesal dengan beberapa pelantikan lain membabitkan jawatan penting dalam negara kerana turut tidak menepati kehendak semasa di negara ini.

Hashim berkata demikian selepas beliau bersama rombongan Pas Kedah menziarahi keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah diserang dalam rusuhan kuil di Subang Jaya pada November namun meninggal dunia pada Isnin lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib perlu disegerakan kerana rakyat turut meletakkan harapan tinggi agar kes ini disiasat dan diselesaikan secepat mungkin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!