Budak perempuan hilang ketika basuh pinggan

Umma Habibah dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Umma Habibah dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
A
A
A

PONTIAN - Polis sedang mengesan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar, Umma Habibah Abdullah, 10, yang dilaporkan hilang ketika sedang mencuci pinggan di dapur rumahnya di Kampung Masjid, Pekan Nanas, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, sebaik laporan polis diterima kelmarin, siasatan dan rakaman percakapan dilakukan ke atas ibu kanak-kanak terbabit berusia 29 tahun.

Katanya, mengikut rakaman percakapan ibu kanak-kanak tersebut, dia menyedari kehilangan anaknya itu pada jam 10.30 malam dan kemudiannya bertindak mencari di dalam dan luar rumah, namun tidak ditemui.

“Menurut wanita itu lagi, dia datang ke Malaysia dan tinggal bersama suami serta empat anak sejak kira-kira empat tahun lepas.

“Umma Habibah merupakan anak sulung dan memegang kad khas Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mustafa Bakri menambah, Umma Habibah berketinggian kira-kira 145 sentimeter, berkulit cerah, rambut paras bahu lurus dan berbadan kurus.

“Tindakan dan siasatan lanjut masih dijalankan. Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang. Pasukan operasi telah ditubuhkan bagi mengesan mangsa," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Sarjan Mejar Robi Ibrahim di talian IPD Pontian 07-6871222

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!