25 GRO Thailand ditahan ketika leka layan pelanggan

Polis sedang memeriksa GRO yang ditahan dalam serbuan malam tadi.
Polis sedang memeriksa GRO yang ditahan dalam serbuan malam tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 25 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan di sebuah kelab malam sekitar Lebuh Pantai di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, turut ditahan lapan lelaki warga Bangladesh, dua lelaki Indonesia serta seorang lelaki Pakistan berusia 20 hingga 50 tahun yang bekerja di premis tersebut.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Pulau Pinang bermula jam 11.50 malam tadi.

"Hasil risikan yang dibuat, kita berjaya menyerbu pusat hiburan tersebut yang menyediakan perkhidmatan GRO kepada pelanggan mereka. Setiap malam, mereka ini akan memakai pakaian seksi dan mempamerkan kecantikan di atas pentas.

"Pelanggan yang berminat, akan menempah gadis-gadis ini. GRO ini akan dikalungkan selendang khas menandakan mereka sudah ditempah," katanya ketika dihubungi tadi.

GRO yang ditahan dalam serbuan malam tadi.
GRO yang ditahan dalam serbuan malam tadi.

Beliau berkata, kesemua GRO itu dipercayai mampu meraih pendapatan RM300 hingga RM400 setiap hari hanya dengan menemani pelanggan minum dan berhibur selain berkaraoke di kelab malam tersebut.

"Untuk mendapatkan perkhidmatan itu, pelanggan perlu membuat bayaran dengan harga tertentu terlebih dahulu. Selain mereka, 50 pelanggan turut diperiksa namun tiada tangkapan dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan pusat hiburan itu juga mendapati, premis itu tiada lesen perniagaan sah dan menggunakan khidmat warga asing tanpa permit untuk bekerja sebagai GRO. Premis ini juga beroperasi bermula jam 6 petang hingga 3 pagi," katanya.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut juga mendapati, pusat hiburan itu tidak menawarkan perkhidmatan seks berikutan tidak dilengkapi bilik.

"Polis percaya, ada pelanggan yang membawa gadis ini ke tempat lain selepas bayaran dibuat.

"Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!