Terengganu cadang beli telur penyu belimbing dari luar negara

Zawawi (depan, tiga kanan) bersama Abdul Manan (depan, dua kanan) melepaskan anak penyu di pantai The Qamar Resort Paka, Dungun petang semalam.
Zawawi (depan, tiga kanan) bersama Abdul Manan (depan, dua kanan) melepaskan anak penyu di pantai The Qamar Resort Paka, Dungun petang semalam.
A
A
A

DUNGUN - Jabatan Perikanan Terengganu merancang untuk membeli telur penyu belimbing dari luar negara sebagai usaha mengembalikan habitat haiwan itu sebagai ikon Terengganu.

Pengarahnya, Zawawi Ali berkata, pihaknya bercadang untuk membawa masuk telur penyu dari Papua New Guinea kerana pantai itu mencatatkan pendaratan penyu belimbing yang masih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan mengambil kira maklum balas daripada penyelidik berhubung cadangan itu dalam seminar khas yang akan diadakan pihaknya pada Oktober depan.

"Kita akan tengok apa cadangan daripada saintis terlebih dahulu dan kita akan laksanakan rancangan itu jika dipersetujui dalam seminar berkenaan.

"Rekod Jabatan Perikanan Terengganu menunjukkan pendaratan penyu belimbing ke pantai negeri ini yang terakhir adalah pada 2017 manakala pendaratan penyu ini sebelumnya pada 2010," katanya pada Program Pelepasan Anak Penyu Bersama Orang Ramai di Pantai The Qamar Resort, Paka, di sini semalam.

Hadir sama, Pengurus Resort, The Qamar Resort Paka, Abdul Manan Abdul Manaf.

Apa yang luar biasa, program itu menyaksikan kira-kira 3,000 pengunjung hotel dan penduduk tempatan menyerbu pantai itu bagi menyaksikan pelepasan lebih 1,684 ekor anak penyu agar.

Katanya, maklum balas daripada saintis sangat perlu memandangkan telur penyu sangat sensitif kerana ia tidak akan menetas jika telur tidak diuruskan dengan cermat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zawawi berkata, walaupun setiap tahun kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM500,000 untuk tujuan pengurusan dan program pembangunan penyu di negeri ini namun ia tidak mencukupi kerana perbelanjaannya dianggarkan melebihi RM700,000.

"Peruntukan ini masih tidak mencukupi bagi memastikan keseluruhan program pengurusan dan pemuliharaan penyu dapat dijalankan sepenuhnya justeru sumbangan kewangan dan penajaan dari pihak swasta adalah dialu-alukan untuk sama-sama menjayakan program pengurusan dan pemuliharaan penyu negeri ini.

"Jabatan ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sama-sama hulurkan bantuan dan sumbangan kepada Tabung Amanah Penyu ini demi memastikan program pemuliharaan penyu di negeri ini dapat dilaksanakan," katanya.

Katanya, Jabatan Perikanan Terengganu juga amat menggalakkan penglibatan pengusaha hotel dan resort dalam program berkenaan dan setakat ini sebanyak 10 buah hotel dan resort di negeri ini telah menjalin kerjasama dengan pihaknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!