Hukuman Wan Ji: Anwar bincang dengan PM
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan penahanan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin di bawah Akta Hasutan 1948.
Presiden PKR itu menyifatkan hukuman penjara setahun terhadap Wan Ji itu hukuman yang terlalu berat.
"Saya akan merujuk perkara ini dan akan bincangkan dengan Tun Dr Mahathir. Hari ini tak mahu ganggu sebab kita nak ucap selamat hari jadi dan ulang tahun kita nak dia tenang dan gembira.
ARTIKEL BERKAITAN: Hina Sultan Selangor: Wan Ji ke penjara
"Saya memang tak puas hati dengan pendakwaan dan keputusan hukuman mahkamah yang drakonian itu.
"Hukuman Akta Hasutan tidak melambangkan sentimen baharu yang diterapkan Pakatan Harapan (PH). Jadi maknanya, kerangka pemikiran usang, lapuk, jumud itu nampaknya masih wujud dalam pentadbiran dan dalam sistem negara dan perkara ini harus ditangani dengan baik," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berpendirian sistem beraja dan Perlembgaan Persekutuan harus dihormati.
"Tetapi kita juga tahu bahawa ruang itu harus diberikan walaupun terbatas dan PH konsisten menolak undang-undang yang kejam," ujarnya.
Sebelum itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji semula kesesuaian penggunaan Akta Hasutan.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!