Polis rampas 1,500kg daun ketum
KULIM - Pasukan rondaan Batalion 2 Pasukan Gerakan Am Kulim telah merampas 50 guni daun ketum seberat 1500kg di Felcra Lubok Sireh jam 6 petang semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA, Superintendan Md Dali Jamil berkata, ketika membuat rondaan di kawasan terbabit, pihaknya telah menemui dua buah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton.
Katanya, hasil pemerhatian kenderaan berkenaan membawa muatan guni putih dan sedang bergerak dari arah ladang Felcra Lubok Sireh menuju ke arah sempadan.
"Pasukan rondaan merapati kereta tersebut bagi membuat pemeriksaan, namun selepas memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kedua-dua pemandu kenderaan itu cuba untuk melarikan diri.
"Namun begitu, kenderaan yang dipandu tersangkut di tepi jalan semasa mereka ingin membuat pusingan U," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Md Dali, pemandu tersebut bertindak melarikan diri ke dalam ladang getah dan meninggalkan dua buah kenderaan itu di tepi jalan.
"Pasukan rondaan memeriksa kenderaan yang ditinggalkan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 50 guni putih berisi daun hijau dibalut plastik lut sinar disyaki daun ketum," katanya.
Katanya, jumlah rampasan daun ketum dan kenderaan bernilai RM325,000.
"Kesalahan di bawah Seksyen 30(3) akta racun 1952.
"Semua hasil rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!