Peminjam PTPTN disenarai hitam boleh beli rumah
KUALA LUMPUR - Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam dalam Sistem Rujukan Maklumat Berpusat (CCRIS) akan dikecualikan daripada sekatan sekiranya hendak membeli rumah pertama.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, perkara itu akan diumumkan pada Pelancaran Skim Perumahan Belia pada pertengahan Oktober nanti.
Menurutnya, beliau telah berbincang dengan PTPTN bulan lalu dan dipersetujui oleh pengerusi perbadanan itu, Wan Saiful Wan Jan.
"Tetapi untuk siapa yang hendak beli rumah sahaja, kereta tidak boleh.
"Oktober nanti saya akan umum semua skim dan akan membuat pengumuman rasmi," katanya pada sidang media Pelancaran Hi Home di Kelab Tasik Diraja, Tasik Perdana Kuala Lumpur hari ini.
Zuraida berkata, ia satu langkah melayakkan mereka membeli rumah pertama kali.
Terdahulu, PTPTN menguatkuasa sekatan terhadap peminjam culas tidak membayar pinjaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!