Hulurkan sumbangan, jalin persahabatan
KUCHING - Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata cara yang terbaik untuk memahami budaya dan amalan masing-masing dalam komuniti kaum dan etnik yang pelbagai adalah dengan menawarkan persahabatan dan menyumbangkan ‘hadiah’ dalam bentuk bantuan.
Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau dan Adun Ba’ Kelalan berkata, ini adalah lebih penting kerana ramai yang amat memerlukan bantuan dalam suasana ekonomi yang perlahan sekarang.
“Minggu lepas, saya melawat tempat kelahiran saya di Long Luping dan Long Semadoh dengan sekumpulan sukarelawan, membawa barangan persekolahan dan hadiah lain untuk warga emas serta mereka yang memerlukan.
"Berinteraksi dengan penduduk kampung, saya menyedari tiada nikmat yang paling membahagiakan selain dapat berkongsi rezeki, ia adalah suatu kebenaran,” katanya dalam mesej Hari Natal, di sini, hari ini.
Beliau berkata, gaya hidup moden dan sibuk, ditambah pula dengan mempolitikkan beberapa isu membabitkan bangsa dan agama, membawa kepada polarisasi kaum di negara ini.
“Saya percaya kita tidak mahu perkara ini menimpa kita. Kita mahu hidup di negara yang menghargai perpaduan dan keharmonian. Ia boleh digapai, jika kita saling menghormati dan hulurkan tanda persahabatan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!