IPOH - PKR Perak melihat tiada keperluan untuk merehatkan seorang Exco Kerajaan Perak daripada tugasnya kerana sedang disiasat polis kerana didakwa merogol pembantu rumahnya. Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, exco yang terlibat perlu melaksanakan tugas seperti biasa sehingga siasatan siap. Beliau berkata, sebagaimana seorang menteri kanan yang masih bertugas ketika siasatan terhadapnya masih dijalankan dari bulan lepas, begitu juga dengan exco Perak yang sedang disiasat ini. "Exco yang terlibat harus dibenarkan melaksanakan tugasnya kepada rakyat seperti biasa sehingga pihak berkuasa menyempurnakan siasatan. "Apa yang pasti, sebarang isu semasa termasuk siasatan ke atas exco kerajaan ini akan dibincangkan di kalangan pucuk kempimpinan Pakatan Harapan (PH) demi kesejahteraan rakyat," katanya kepada Sinar Harian hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai siasatan yang sedang dijalankan pihak polis terhadap Exco Kerajaan Perak, Paul Yong berkaitan dakwaan merogol pembantu rumahnya yang juga warga Indonesia. Terdahulu, Pemuda Pas Perak dalam kenyataannya meminta agar Paul digantung tugas sementara siasatan dan dakwaan ke atas tuduhan itu selesai. Ditanya sama ada pemimpin PH di Perak yang merasakan diri terpalit dengan skandal ataupun jenayah melepaskan jawatan secara sukarela bagi menjaga imej kerajaan negeri, Farhash berkata, integriti seorang pemimpin lebih penting dari imej. Katanya, ada ramai pihak yang sentiasa cuba menghalang pemimpin dari melakukan tugas yang diamanahkan. "Oleh itu kita memerlukan pengasingan kuasa yang jelas bagi pihak berkuasa menjalankan tugas dengan jaminan tiada ‘tangan ghaib’ dari kuasa eksekutif agar mereka yang benar-benar salah tidak akan dilindungi. "Setiap pemimpin negeri harus sedar bahawa mereka sekadar memegang amanah rakyat dan mengambil iktibar untuk tidak bersikap besar kepala," katanya. Farhash berkata, semua pemimpin perlu menyedari hakikat sebagaimana mereka diangkat sebagai pemimpin mereka juga boleh diganti pada bila-bila masa.