Najib banyak masa terluang, kata Anwar

Anwar - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anwar - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap keputusan Barisan Nasional (BN) melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN kerana bekas Perdana Menteri itu mempunyai banyak masa terluang.

Presiden PKR itu berkata, Najib hanya sibuk pada sebelah pagi kerana menghadiri sesi perbicaraan di mahkamah dan lapang pada sebelah petang.

“Apa lagi yang mereka (BN) boleh buat? Saya fikir mereka nak bagi sedikit ruang kepada Najib untuk bekerja, sebab sebagai pembangkang kini mereka ada banyak masa terluang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib dilantik Pengerusi Lembaga Penasihat BN

Najib sudah ada calon anggotai Lembaga Penasihat BN

“Najib mungkin hanya sibuk pada waktu pagi untuk hadir perbicaraan di mahkamah. Jadi beliau lapang pada sebelah petang, sebab itu BN lantik (supaya) beliau ada tugasan untuk dilakukan,” katanya media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, BN mengumumkan lantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat gabungan itu hasil keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, reaksi berbeza dinyatakan rakan BN berhubung pelantikan baharu itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menepis dakwaan kononnya Najib liabiliti kepada BN dan juga punca yang menyumbang kepada kekalahan BN.

“Kita kalah PRU14 kerana isu yang dimainkan dan janji manis PH... Mungkin juga fitnah yang dilakukan kerajaan terhadap Najib telah dipercayai pengundi.

“Kita lihat program Bossku dapat sambutan ramai, jadi saya rasa siapa yang bagi sumbangan kepada parti, kita terima. Tugas Najib sekarang untuk menasihati tapi dari segi polisi dan perjalanan parti beliau tak terlibat.

“Beliau baru dilantik semalam, bagi beliau peluang sebelum buat spekulasi pelbagai, saya percaya siapa yang boleh menyumbang walaupun sedikit sudah cukup baik,” kata Naib Presiden UMNO itu.

Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, BN tidak perlu melayan kritikan PH terhadap lantikan baharu Najib itu.

“Ya atau tidak memang PH akan serang, itu memang kerja mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!