Pemuda PH tuntut penjelasan mengapa hukuman Wan Ji lebih berat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini mendesak Pendakwa Raya kes rayuan, Wan Ji Wan Hussin agar memberi penjelasan mengapa hukuman lebih berat dikenakan terhadap penceramah bebas itu.

Dalam kenyataan itu, Pemuda PH melahirkan kebimbangan susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara kepada Wan Ji di bawah Akta Hasutan.

“Kami difahamkan bahawa hukuman yang telah diputuskan juga adalah terlalu berat dan tidak mengikut kecenderungan hukuman denda yang selalunya disabitkan di bawah Akta Hasutan.

“Kami mendesak pihak Pendakwa Raya untuk segera memberi penjelasan mengapa pihaknya mahu hukuman yang lebih berat ke atas Wan Ji yang jelas bertentangan dengan dasar Kerajaan PH mengenai akta yang zalim ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; dan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzah.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Sultan Selangor: Wan Ji ke penjara

Pemuda PH dalam masa sama mengulangi pendirian berhubung pemansuhan semua akta zalim.

“Kami ingin mengulang komitmen kami pada janji ke-21 manifesto PH untuk memansuhkan semua akta zalim, termasuklah Akta Hasutan 1948 demi kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga menggesa kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan pemansuhan Akta Hasutan supaya perlanggaran hak sebegini tidak lagi berulang,” katanya.

Semalam, Wan Ji dilaporkan terpaksa meringkuk di dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Malahan, Hakim, Datuk Abdul Halim Aman turut meminda hukuman kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!