'Saintis' muda uji bahaya bunyi pengering tangan
CALGARY - Pada usia sembilan tahun, Nora Keegan dari Kanada memutuskan untuk menguji volum pengering tangan bagi mengetahui sama ada ia mampu merosakkan pendengaran kanak-kanak.
Menurut Keegan yang kini berusia 13 tahun, kajian yang dibuat adalah berdasarkan pengalaman peribadinya.
“Kadang-kadang selepas menggunakan pengering tangan, telinga saya akan berdesing.
“Saya juga perasan kebanyakan kanak-kanak mengelak untuk menggunakan peralatan tersebut dan akan menutup telinga mereka setiap kali menggunakan pengering tangan,” katanya.
Katanya lagi, bunyi pengering tangan sebenarnya sangat kuat terutamanya pada ketinggian kanak-kanak kerana mereka berada berhampiran dengan bahagian udara keluar.
Bagi menyempurnakan kajian berkenaan, 'saintis' muda itu mengunjungi lebih 40 bilik mandi awam di Alberta antara tahun 2015 hingga 2017.
Dia turut menggunakan alat pengukur bunyi profesional untuk menguji kelantangan bunyi pengering tangan dari pelbagai ketinggian dan jarak.
“Bunyi paling kuat yang diukur adalah 121 desibel dari model Dyson Airblade. Kesihatan Kanada tidak membenarkan penjualan permainan kanak-kanak melebihi 100 desibel kerana mereka tahu ia boleh rosakkan pendengaran kanak-kanak,” katanya.
Pada awal tahun ini, Nora membentangkan kajiannya di Pameran Sains Belia Calgary dan hipotesisnya tentang bunyi pengering tangan berbahaya kepada telinga kanak-kanak diterbitkan dalam Jurnal Kesihatan dan Pediatrik Kanak-Kanak, bulan lalu. - NPR
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!