JHEV ATM beri bantuan kebajikan kepada veteran ATM
SHAH ALAM - Kisah menyayat hati kehidupan seorang bekas tentera yang terpaksa menyelongkar sampah untuk kelangsungan hidup sejak empat tahun lalu mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM).
JHEV ATM dalam satu kenyataan hari ini berkata, lawatan kebajikan bersama beberapa persatuan Veteran ATM Pulau Pinang telah dilakukan ke kediaman Sabri Sab, 58 di kediamannya di Kampung Banggol, Seberang Perai, Pulai Pinang sebaik sahaja tersiarnya laporan media semalam.
Menurutnya, JHEV Cawangan Negeri dengan kerjasama pihak persatuan veteran juga sentiasa prihatin terhadap kebajikan ahli-ahli dan sentiasa memantau keadaan mereka.
"JHEV ATM menawarkan pelbagai bantuan kebajikan untuk Veteran ATM dan tanggungan yang layak seperti Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan/Kolej Vokasional, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik, Bantuan Perubatan dan Peralatan Pesakit, dan Bantuan Bencana Alam.
"Kesemua bantuan ini perlu dipohon oleh Veteran sama ada di Ibu Pejabat JHEV ATM atau di 9 pejabat JHEV Cawangan Negeri di seluruh negara.
"Encik Sabri memilih untuk memungut barang terpakai untuk dikitar semula sebagai mata pencarian beliau di samping memperbaiki kenderaan secara kecil-kecilan,"katanya.
Jelas JHEV ATM, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan juga terlebih dahulu menyediakan Latihan Peralihan di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat) kepada bakal pesara sebelum menamatkan perkhidmatan.
"Antara bidang kursus yang disediakan adalah bidang automotif, keusahawanan, elektrik dan elektronik, pelancongan, serta restoran dan katering dengan tempoh di antara 6 bulan ke 18 bulan.
"Selain itu, JHEV ATM juga bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta di dalam menawarkan kursus dan peluang kerjaya kedua kepada Veteran ATM yang berminat setelah mereka menamatkan perkhidmatan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas tentera selongkar sampah untuk isi perut
Media sebelum ini melaporkan Sabri terpaksa mencari punca rezeki daripada sisa buangan yang masih boleh digunakan dan dikitar semula demi kelangsungan hidup bersama ibunya yang telah berusia 79 tahun dan ahli keluarganya.
Dia hanya memperoleh hasil sekitar RM20 ke RM30 sehari dan wang bantuan jabatan kebajikan masyarakat (JKM) sebanyak RM300 yang diterima ibunya juga tidak mencukupi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!