Jangan ‘pm tepi’ peniaga: Saifuddin
KUALA NERANG - Orang ramai diminta berurusan dengan peniaga atas talian yang berdaftar dengan BizTrust di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengelakkan kes ditipu terus berulang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengalami kesukaran untuk menjejaki peniaga yang menggunakan modus perniagaan suka ‘pm tepi’ apabila menerima aduan berlaku penipuan dalam urus niaga.
Menurutnya, pada era e-dagang yang semakin berkembang kini, aduan tentang penipuan atas talian juga meningkat.
“Pengguna juga diingatkan supaya menyelidik dengan betul latar belakang sesuatu syarikat. Ini tidak menjadi masalah kepada perniagaan atas talian yang sudah stabil seperti Lazada dan Shopee.
“Yang menjadi masalah adalah jenis ‘pm tepi’ apabila ditanya berkenaan harga barang atau perkhidmatan oleh pelanggan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Kali Ke-20 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai 1,057 kes tuntutan penipuan pakej pelancongan dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membabitkan jumlah tuntutan RM6.6 juta sejak 2016 hingga 31 Mei lalu.
Saifuddin berkata, pengguna boleh berurusan dengan yakin apabila peniaga sudah berdaftar dengan BizTrust.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!