Malaysia bakal jadi negara tamu Pesta Buku Antarabangsa Beijing 2021

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menjadi Negara Tamu dalam Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) pada 2021 bagi meningkatkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan industri pembukuan di negara ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan malam ini, inisiatif itu dicapai hasil pertemuan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dengan Timbalan Presiden Jawatankuasa BIBF, Lin Liying, di Beijing, semalam.

BIBF adalah antara pesta buku antarabangsa yang terbesar dengan mengumpulkan puluhan negara.

Kenyataan itu menyebut BIBF juga adalah platform terbaik untuk Malaysia memasarkan dan pengantarabangsaan karya-karya terbaik negara terutama sekali karya-karya Sasterawan Negara.

"Negara kita telah banyak menghasilkan karya-karya berkualiti tinggi dalam pelbagai bidang termasuklah karya-karya dari Sasterawan Negara yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa," kata Maszlee dalam kenyataan itu.

Inisiatif ini adalah sebahagian usaha kementerian mencapai matlamat menjadikan Malaysia Negara Membaca menjelang 2030, katanya.

Pada tahun ini, Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Kota Buku akan menyertai BIBF pada 21 hingga 25 Ogos. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!