Bestari Karangkraf terbit buku pendidikan berkualiti

Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin menunjukkan buku-buku keluaran Bestari Karangkraf. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin menunjukkan buku-buku keluaran Bestari Karangkraf. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Bestari Karangkraf Sdn Bhd terus mengorak langkah sebagai syarikat penerbitan buku-buku pendidikan berkualiti di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, sehingga kini lebih 300 buah judul buku bagi semua peringkat usia pendidikan telah diterbitkan sejak penubuhan Bestari Karangkraf tiga tahun lalu.

"Bestari Karangkraf menumpukan kepada penghasilan buku akademik dari peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah rendah agama.

"Selain daripada menerbitkan buku latihan dan rujukan, Bestari Karangkraf juga terlibat dalam penerbitan buku teks Kementerian Pendidikan iaitu buku Bahasa Arab Tingkatan 3 yang dipakai pelajar di seluruh negara," katanya.

Firdaus berkata, tiga produk baharu Bestari Karangkraf tahun ini iaitu Koleksi Kertas Klon UPSR; My Yellow Book dan Peta Minda Genius Sejarah Tingkatan 4 & 5 antara yang paling mendapat sambutan dalam kalangan pelajar dan guru.

Katanya, bagi Koleksi Kertas Klon UPSR, ia meliputi empat subjek iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Inggeris.

"Keistimewaan buku ini ialah klon soalan yang disediakan mirip dengan kertas peperiksaan UPSR sebenar. Kandungan latihan buku ini juga mengikut format UPSR terkini.

"Selain itu, set soalan dapat dileraikan bagi memudahkan guru membuat latihan dalam kelas. Buku ini juga dwibahasa dan kombinasi Kertas 1 dan 2 untuk subjek Matematik dan Sains," katanya.

Artikel Berkaitan:

Manakala, katanya, buku My Yellow Book yang menampilkan formula pembelajaran Bahasa Inggeris dengan cara paling mudah berjaya terjual melebihi 20,000 naskhah sejak diterbitkan tiga bulan lalu.

"Penulisnya, Norhaizan Mahussin berpengalaman mengajar Bahasa Inggeris selama 36 tahun. My Yellow Book disusun secara sistematik mengikut topik dan mempunyai nota 'grammar' dan latihan untuk ulang kaji pintar.

"Buku ini dapat meningkatkan penguasaan perkataan dan tatabahasa Inggeris bagi semua peringkat umur," katanya.

Sementara itu, Firdaus berkata, keistimewaan buku Peta Minda Genius Sejarah Tingkatan 4 & 5 ialah semua fakta penting dalam buku teks dirumuskan secara kreatif dalam bentuk nota bergrafik.

"Nota bergrafik dan peta minda ini memudahkan pelajar mengingati fakta dengan lebih mudah. Isi kandungan buku ini juga ditulis oleh penulis yang berpengalaman luas dalam subjek Sejarah," katanya.

Katanya, semua buku itu boleh dibeli dengan harga berpatutan iaitu Koleksi Kertas Klon UPSR (RM5.90); My Yellow Book (RM 10.90) dan Peta Minda Genius Sejarah Tingkatan 4 & 5 (RM16.90).

"Buku-buku ini boleh didapati di Karangkraf Mall dan 200 kedai buku seluruh negara atau secara dalam talian di www.karangkrafmall.com," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!