Penduduk cemas kilang dibina di zon penampan

Kedudukan kilang hanya 358 meter dari kawasan perumahan penduduk Taman Kulim Utama Fasa 1. Gambar kecil: Faudzi Abdullah
Kedudukan kilang hanya 358 meter dari kawasan perumahan penduduk Taman Kulim Utama Fasa 1. Gambar kecil: Faudzi Abdullah
A
A
A

KULIM - Lebih 3,000 penduduk yang menetap di Taman Kulim Utama Fasa 1 hidup dalam kebimbangan apabila sebuah kilang memproses bahan kimia bakal dibina di zon penampan di sini

Mereka juga bimbang tragedi Bhopal di India yang mengorbankan lebih 3,800 nyawa dalam satu malam pada 3 Disember 1984 akibat kebocoran gas berulang dan takut menerima kesan seperti mangsa pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kulim Utama Fasa 1, Faudzi Abdullah berkata, kilang berkenaan menghasilkan barangan semi konduktor yang menggunakan pelbagai jenis bahan kimia termasuk hidrogen.

"Pembinaan bangunan tambahan kilang di kawasan zon penampan mendedahkan ribuan nyawa dengan kebocoran gas selain letupan. Penempatan penduduk sekarang hanya dipisahkan pada jarak 358 meter dengan kilang sedia ada yang mempunyai dua tangki gas itu.

"Kawasan kelapa sawit dijadikan zon penampan akan dibangunkan projek tambahan industri tersebut yang menyebabkan penempatan kami berada bersebelahannya bakal mengundang risiko kehilangan nyawa, keselamatan dan kesihatan penduduk," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi zon penampan di sini semalam.

Menurutnya, paling merisaukan apabila kilang tambahan bakal dibina berhampiran loji air yang membekalkan sumber air kepada 1,049 unit rumah penduduk di taman tersebut.

"Jika berlaku pencemaran sudah pasti akan menjejaskan kesihatan setiap isi rumah, penduduk juga bakal menerima kesan habuk dan gegaran sepanjang kerja-kerja pembinaan kilang dilakukan.

"Nyawa penduduk ibarat telur di hujung tanduk sekiranya bangunan tambahan kilang dibenarkan dibina di kawasan itu kerana zon penampan sedia ada pun kurang daripada 500 meter seperti ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Sudahlah zon penampan sedia ada kurang 500 meter, itu pun ingin ditarah. Saya tak tahu apa akan terjadi kepada kami sekiranya berlaku penduduk jika berlaku kebocoran atau kebakaran," katanya.

Sementara itu, satu perjumpaan antara penduduk dan pengurusan Kulim Technology Park Corporation (KTPC) yang diadakan turut melibatkan beberapa agensi.

Ketua Pegawai Eksekutif KTPC, Mohd Shahil Zabidi berkata, Infineon Technology Kulim Sdn Bhd menyampaikan hasrat kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kerajaan negeri, KTPC untuk membina kilang tambahan bagi meningkatkan pengeluaran.

Menurutnya, berdasarkan keperluan 12.9 hektar daripada 21 hektar kawasan kelapa sawit berkenaan milik MBAS Jaya sudah dikenal pasti.

"Permohonan dipanjangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Kedah dan diberikan kelulusan pada 7 Mac 2019

"KTPC mematerai perjanjian pajakan selama dengan Infineon pada 30 Mei 2019. Kontraktor dilantik ialah BDB Infra Sdn Bhd (anak syarikat PKNK).

Mohd Shahil berkata, penyerahan tapak kepada kontraktor dibuat pada 27 Jun lalu dan projek dijangka siap pada 1 April tahun depan.

"Cadangan bangunan tambahan kilang Infineon di kawasan Industri Fasa 2, Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim perlu mengekalkan tangki gas di tapak lama dan tidak boleh dibuat di tapak cadangan tambahan," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati jarak tangki gas pertama dengan kediaman penduduk 590 meter manakala jarak tangki gas kedua dengan taman hanya 484 meter.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar Kedah dalam pertemuan itu menjelaskan tiada kelulusan Penilaian Alam Sekitar (EIA) belum dikeluarkan bagi projek tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!