Isytihar harta bukan hal lok-lak
USUL itu akhirnya diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu. Maka wajiblah semua Ahli Parlimen, termasuk yang mewakili pembangkang, mengisytiharkan harta masing-masing.
Memerhati dari luar dewan, termasuk menerusi sebahagian petikan siaran langsung TV, saya tidaklah tertarik sangat dengan lulusnya usul berkenaan.
Almaklumlah ia hanya satu usul, bukan satu rang undang-undang yang memerlukan sokongan dua pertiga anggota dewan untuk kelulusan.
Lagi pula mengisytiharkan harta bukanlah benda baharu yang hendak diperkenalkan oleh pentadbiran baharu; pentadbiran lama pun telah melaksanakan perkara sama.
Sebab itu, sebelum pun dibentangkan usul mewajibkan setiap YB memberitahu kekayaan mereka, memang dijangka usul itu akan diluluskan.
Apa yang lebih menarik perhatian saya mungkin juga perhatian banyak orang ialah fakta-fakta yang dikemukakan semasa membahaskan usul berkenaan.
Ada Ahli-Ahli Yang Berhormat berhujah tidak begitu tepat, mengelirukan, agaknya terlalu emosi, dan akhirnya nampak flip-flop fakta yang mula-mula amat dikobar-kobarkan itu.
Ambil Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai contoh. Timbalan Presiden Pas itu mulanya beria-ia menegaskan bahawa perisytiharan harta bertentangan dengan Islam.
Tidak pasti kitab apa yang dijadikan rujukan orang No. 2 parti Islam itu. Apa yang pasti kitabnya mungkin berbeza dengan apa yang dibaca dan dirujuk ulama lain.
Ramai agamawan, termasuk beberapa orang Mufti, menyanggah hujah Tuan Ibrahim sambil menyebut pengisytiharan harta telah diamalkan sejak zaman para sahabat.
Maka timbul kekeliruan dan pertanyaan, apakah apa yang telah diamalkan pada era para sahabat, termasuk pada zaman Saidina Umar, bercanggah dengan Islam?
Atau, apakah yang dulu dibenarkan dalam Islam, tiba-tiba pada era siber yang serba canggih kini menjadi sesuatu yang diharamkan?Berubah-ubah
Sekiranya sejarah disingkap, pendirian pemimpin Pas itu mengenai isu sama ternyata berubah-ubah, seperti yang disebut Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut pemimpin PKR berkenaan, pada 2015 Tuan Ibrahim mendesak Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak serta isterinya Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengisytiharkan harta.
Lima tahun dulu ketika tidak sebulu dengan UMNO, isytihar harta dibolehkan, tiba-tiba sekarang setelah berbaik dengan parti terbesar Melayu itu, isytihar harta dikatakan bercanggah dengan Islam.
Flip-flop ini bukan sahaja mengelirukan, tetapi melucukan. Apa boleh buat sekarang menang era flip-flop, zaman orang politik tidak kira parti suka membuat pusingan U.
Menarik juga dalam isu sama ialah kenyataan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Kata Presiden Pas itu, seperti yang dipetik media, pengisytiharan harta adalah konsep atau idea komunis dan sosialis, satu tindakan yang dibayangi oleh pengaruh DAP dalam kerajaan PH.
Perihal konsep komunis dan sosialis itu apakah Tuan Guru merujuk pengisytiharan harta zaman para sahabat, atau hanya pada usul yang diluluskan Parlimen sekarang? Apa bezanya isytihar harta zaman para sahabat dengan zaman sekarang?
Apa pun flip-flop dan percanggahan pendapat, usul telah diluluskan sebulan suara, maka tidak ada pilihan semua YB, termasuk YAB, kena beritahu berapa banyak harta yang mereka miliki.
Sekiranya kita melayari laman sesawang SPRM sebahagian besar wakil rakyat kerajaan telah pun mengisytiharkan harta masing-masing.Apa yang mereka ada bukan perkara sulit yang hendak disorokkan. Orang ramai boleh melihat sendiri berapa harta YB yang mereka pangkah pada PRU14.
Saya telah menyemak senarai SPRM. Maaf cakap. Saya tidak berapa yakin dengan harta yang diisytiharkan setakat ini. Saya mencongak YB-YB berkenaan tidak memberitahu jumlah harta sebenar.
Sebahagian besar harta yang mereka ada sekitar RM50,000, malah ada yang hanya RM20,000. Pakai dua tiga kenderaan mewah, ada banglo besar harta hanya RM20,000? Tidak masuk akal!
Seorang dua YB mengisytiharkan harta RM100,000. Itu pun tidak meyakinkan sebab rakyat boleh melihat gaya hidup mereka, menampakkan harta mereka RM juta-juta-juta.
Pengisytiharan harta kena buat sungguh-sungguh dan penuh kejujuran. Ini satu tanggungjawab, bukan hal main-main, bukan lok-lak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!